BERITA TERKINI

Friday, 11 July 2014

Mekanik dipenjara 10 bulan kerana melakukan ugutan jenayah terhadap ibu kandung

Advertisement
KUALA TERENGGANU- Seorang mekanik terpaksa menyambut lebaran di sebalik tirai besi apabila dijatuhi hukuman penjara 10 bulan selepas mengaku salah melakukan ugutan jenayah terhadap ibu kandungnya, di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Mohd Nur Hafizuddin Mohd Khalid, 27, dari Kampung Bukit Bayas, di sini, mengaku salah dengan sengaja telah melakukan ugutan jenayah terhadap ibunya, Fatimah Hamzah, 49, dengan cara mengejar dan mengacukan sebatang tukul besi kepada mangsa.

Dia mengaku salah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah itu pada 6 Julai lalu, lebih kurang jam 11 pagi, di kediaman mereka di Kampung Bukit Bayas, di sini.

Dengan itu, Mohd Nur Hafizuddin mengaku salah melakukan kesalahan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai tempoh tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Miky Dunstan Muda di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Berdasarkan fakta kes, sebelum kejadian, mangsa yang ketika itu berada di rumah sedang berehat telah dihampiri anak lelakinya itu meminta wang berjumlah RM100.

Bagaimanapun, mangsa memaklumkan yang dia tidak mempunyai wang sebanyak itu menyebabkan Mohd Nur Hafizuddin naik angin sebelum bertindak mengambil sebatang tukul besi dan mengugut mahu memukul mangsa sekiranya masih berdegil enggan menyerahkan wang diminta.

Melihatkan keadaan anaknya yang seperti orang hilang akal, mangsa nekad melarikan diri keluar dari rumah berkenaan dan ketika itu juga, Mohd Nur Hafizuddin mengejar mangsa sambil mengacukan tukul besi di tangannya.

Sinar Harian keluaran 9 Julai lalu ada melaporkan hanya kerana kehendaknya untuk mendapatkan RM100 tidak penuhi, seorang mekanik tergamak mengugut akan memukul ibu kandungnya dengan tukul besi.

Post a Comment