BERITA TERKINI

Wednesday, 16 July 2014

Anak perempuan TKP operasi bomba maut kemalangan

Advertisement
GUA MUSANG - Anak perempuan Timbalan Ketua Pengarah Operasi Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Mahadi Mohd Ali, maut dalam kemalangan di Kilometer 42 Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran Tanah Rancangan Chiku 3, dekat sini, pagi semalam.

Manakala isterinya, Datin Nik Razainon Hassan, 56, dan dua lagi anaknya Muhamad Aizudin, 24, dan Nor Anida, 27, cedera ringan serta menerima rawatan di Hospital Gua Musang (HGM).

Kejadian berlaku kira-kira jam 10 pagi ketika keempat beranak yang menaiki kereta Perdana V6 itu dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur.

Nur Aqilah Mahadi, 23, yang berada di tempat duduk penumpang belakang meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Ketua Polis daerah, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, Muhamad Aizudin yang memandu kereta terbabit dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan lain, namun terkejut dengan kehadiran sebuah lori yang cuba keluar dari simpang tiga berhampiran.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan kenderaan yang dipandu anak lelaki Mahadi terbabas sebelum terbalik ke dalam ladang sawit.

“Tiga lagi mangsa tersepit dalam kereta yang terbalik itu termasuk mangsa yang cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa dihantar ke HGM untuk bedah siasat,” katanya.

Sementara itu, ibu mangsa, Nik Razainon berkata, dia yang duduk di sebelah pemandu memang rasa kereta dipandu anaknya, Muhamad Aizudin dalam keadaan bergoyang sebaik tiba di tempat kejadian.

Katanya, dia sempat bertanya kepada anak lelakinya itu mengenai keadaan berkenaan dan hanya beberapa minit selepas itu kereta mereka terus terbabas lalu terbalik menyebabkannya tersepit dalam kereta bersama arwah.

“Saya memang tidak tahu apa yang berlaku selepas itu, tetapi sempat melihat arwah dalam keadaan cedera parah di kepala dan meminta tolong. Orang ramai cepat memberi bantuan,” katanya ketika ditemui di HGM.

Nik Razainon berkata, dia memang sudah seminggu berada di Kampung Kota, Kota Bharu untuk menziarahi ibunya yang sakit, manakala tiga anaknya itu baharu pulang ke kampung kelmarin, sebelum bertolak semula ke Kuala Lumpur bersamanya pagi semalam.

“Arwah terpaksa pulang segera ke Kuala Lumpur kerana esoknya dia bekerja dan tidak boleh cuti panjang berikutan baharu bekerja dengan sebuah syarikat swasta di ibu kota,” katanya.

Katanya, suaminya Mahadi berada di Miri, Sarawak, kerana ada tugas rasmi dan sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Post a Comment