BERITA TERKINI

Friday, 11 July 2014

Warga Vietnam maut dalam keadaan mengerikan

Advertisement
MARANG – Gara-gara dikatakan gagal memotong, pemuda Vietnam maut dalam keadaan mengerikan apabila kaki kanannya putus dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 21.5 Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan di sini, malam semalam.

Mangsa, Le Ngoc Toan, 30, yang datang dari arah Kuala Terengganu menuju ke Dungun turut tercampak kira-kira 30 meter selepas motosikal Yamaha SS110 ditungganginya bertembung sebuah kereta Mercedes Benz.

Turut terkorban dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, seorang penumpang hadapan kereta Proton Iswara, Zuraiha Zainal Abidin, 33.

Difahamkan, kemalangan dipercayai berlaku selepas motosikal ditunggang Le Ngoc memotong Proton Iswara dinaiki Zuraiha bersama suami serta empat anaknya yang dalam perjalanan ke rumah kakak iparnya di Paka, Dungun.

Namun, Le Ngoc gagal memasuki lorongnya semula dan bertembung Mercedes Benz dipandu Tengku Nasruddin Tengku Mahmud, 41, yang datang dari arah bertentangan hingga menyebabkan kereta tersebut hilang kawalan lalu bertembung Proton Iswara.

Sementara itu, suami Zuraiha, Badrul Hisham Bakar, 39, cedera parah apabila kaki kirinya patah manakala anak lelakinya, Muhammad Adam Muamzar, 6, cedera di kepala.

Tiga lagi anaknya yang berada di bahagian penumpang belakang, Muhammad Adam Wazif, 8; Nur Nia Dzaira, 4, serta Qaseh Eva Qaizara, 1, cedera ringan dan menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Dalam pada itu, Tengku Nazruddin dan dua penumpang Mercedes Benz, Tengku Yusof Tengku Mahmud, 58, yang merupakan bekas Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun dan Mohd Nasrul Nizam Mohd Nasir, 33, tidak cedera.

Kemalangan turut menyebabkan keadaan lalu lintas terganggu, namun ketibaan polis dan sepasukan lima anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Marang tidak lama selepas itu berjaya mengawal kesesakan di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Risikin Satiman mengesahkan menerima laporan dan mayat dua mangsa dihantar ke HSNZ untuk bedah siasat.

Post a Comment