Keadaan itu menyebabkan penduduk dari Kampung Lakloh, Sau dan Kampung Hak setiap hari terpaksa menyeberangi sungai tersebut menggunakan rakit buluh dibina khas untuk mengangkut motosikal bersama anak masing-masing yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Bihai.
Penduduk mendakwa masalah itu telah beberapa kali dimaklumkan kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan pemimpin tempatan, namun belum ada tindakan untuk membina jambatan baharu.
Seorang penduduk dari Kampung Lakloh, Ismail Adam, 38, berkata, seramai 33 murid anak Orang Asli di SK Pos Bihai yang berulang alik menggunakan sungai tersebut terdedah bahaya.
"Lebih bahaya jika paras air sungai naik mengejut, menyebabkan ibu bapa membatalkan niat mahu menghantar anak mereka ke sekolah.
“Jambatan kayu ini pada asalnya dibina syarikat pembalakan dan selepas kerja pembalakan selesai, ia terbiar begitu sahaja tanpa ada kerja selenggaraan menyebabkan kayu reput dan runtuh,” katanya.
Ismail berkata, dia amat risau dengan keselamatan murid terlibat kerana tahun lalu, seorang murid pernah dihanyutkan arus deras ketika menyeberangi sungai tetapi bernasib baik sempat diselamatkan.
Sementara itu, Adun Galas, Ab Aziz Yusof ketika meninjau jambatan yang runtuh itu berkata, pihaknya akan berbincang dengan jabatan dan agensi kerajaan berkaitan secepat mungkin bagi menyelesaikan masalah tersebut.
“Kita bersimpati nasib penduduk Orang Asli di tiga kampung berkenaan yang terpaksa menyeberangi sungai menggunakan rakit buluh," katanya.
Post a Comment