Tindakan itu diambil apabila 10 anggota penguatkuasa KPDNKK yang diketuai Ketua Cawangan Kuala Krai, Rosli Ismail membuat serbuan ke kilang terbabit yang terletak di kawasan Perindustrian, dekat sini, kira-kira jam 3 petang.
Rosli berkata, kilang terbabit yang menyimpan 516 tong gas cecair LPG bersubsidi bernilai RM36,839 tidak mempunyai lesen dan intipan ke atas kilang berkenaan dibuat sejak sebulan lalu.
Menurutnya, semasa serbuan hanya isteri pemilik kilang terbabit berusia 37 tahun berada di situ dan merayu supaya tidak menyita serta merampas tong gas cecair terbabit.
“Kita diamanah menjalankan tugas untuk membasmi segala penyelewengan dan tidak akan terima segala rayuan untuk dibebaskan kerana mereka yang melakukan kesalahan itu tidak memikirkan risiko masa depannya.
“Perkara itu bukan masalah baru, tetapi pasangan suami isteri yang menjalankan kegiatan berkenaan sejak lebih setahun lalu dan telah banyak mengaut keuntungan daripada perniagaan yang tidak sah dari segi undang-undang,” katanya.
Menurut Rosli, hasil daripada siasatan yang dilakukan, peniaga terbabit tidak mempunyai sebarang lesen atau kebenaran daripada pegawai untuk menyimpan dan menjual kepada pelanggan sekitar daerah berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya telah berulang kali menasihatkan peniaga supaya tidak melakukan kesalahan dari segi undang-undang untuk menjalankan perniagaan yang dianggap menipu kerajaan dan pengguna.
“Setiap tong gas cecair itu mempunyai timbangan berat antara 12 dan 14 kilogram dan kita akan terus mengesan jika ada lagi peniaga menjalankan aktiviti seperti itu untuk diambil tindakan,”katanya.
Kes itu disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika disabitkan kesalahan akan didenda RM100,000 atau tiga tahun penjara.
Post a Comment