Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri Kelantan, Ab Ghani Harun berkata, serbuan di bawah Ops Titik itu berjaya mengesan aktiviti berkenaan selepas pihaknya membuat intipan ke atas kegiatan terancang itu dan turut menahan dua lelaki berusia sekitar 40-an.
Menurutnya, lori berkenaan ditahan di salah sebuah stesen minyak di Kuala Krai ketika membuat pembelian minyak dan dipercayai akan membuat pembelian seterusnya di sekitar Kota Bharu dan kembali semula ke Kuala Krai.
“Sekali pandang kita tidak menduga di atas lori ini terdapat dua tangki yang dapat memuatkan kira-kira 30,000 liter diesel sebaliknya menyangka kenderaan ini membawa muatan barangan.
“Kita percaya, aktiviti ini dilakukan dengan terancang berdasarkan penemuan tangki untuk mengisi minyak di atas kenderaan ini dan yakin kegiatan dilakukan tidak kurang dari dua tahun, dan selama ini aktiviti mereka sukar dikesan kerana kenderaan tersebut seolah-olah membawa muatan barangan,” katanya.
Ab Ghani berkata, hasil pemeriksaan mendapati terdapat 1,000 liter diesel di dalam tangki di atas lori treler itu memandangkan lelaki berkenaan baru keluar dari kawasan rumah untuk memulakan aktiviti mereka.
Menurutnya, lelaki terbabit dipercayai membuat pembelian sekitar 500 liter diesel di setiap stesen minyak dan akan menjualnya kepada industri setelah tangki penuh.
“Setelah kedua-dua tangki di atas lori treler ini penuh, mereka menjualnya kepada pihak industri dan dipercayai memperoleh pulangan yang agak lumayan daripada aktiviti mereka.
“Kita turut membuat pemeriksaan ke atas beberapa lori di kediaman lelaki berkenaan tetapi tangkinya kosong,” katanya.
Katanya, minyak yang dirampas dibawa balik ke stor untuk siasatan lanjut.
Kedua-dua lelaki yang menyeleweng minyak itu akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 atau bawah Peraturan 3 (1) Peraturan Kawalan Bekalan.
Pam diesel di stesen minyak berkenaan disita selama seminggu atas kesalahan pertama untuk siasatan lanjut dan turut disiasat di bawah seksyen yang sama dengan penyeleweng minyak.
Dalam pada itu, Ab Ghani berkata, tindakan membuat serbuan diluar kawasan sempadan tidak diduga kerana ramai beranggapan operasi hanya dilakukan sekitar Rantau Panjang dan Pengkalan Kubur.
Post a Comment