Penyelia Dun Gual Ipoh, Razali Yusoff berkata, tindakan itu atas rasa tanggungjawabnya bagi memastikan syarikat terbabit tidak teraniaya selepas aktiviti pembalakan di kawasan berkenaan dihentikan susulan bantahan penduduk.
Katanya, keputusan untuk membuat rayuan tersebut diambil selepas beliau meninjau sendiri kawasan pembalakan terbabit dan mengadakan perjumpaan dengan pengurusan syarikat balak berkenaan.
“Selepas bantahan dibuat penduduk, aktiviti pembalakan di kawasan ini dihentikan serta-merta, cuma syarikat balak terbabit mohon supaya mereka dibenarkan membawa keluar kayu balak yang sudah ditebang.
“Permohonan ini berasas kerana syarikat terbabit sudah belanjakan puluhan ribu ringgit untuk buat jalan masuk dan mengalihkan paip air penduduk sebelum pembalakan dilakukan,” katanya, semalam.
Pada 20 April lalu, ratusan penduduk berhimpun secara aman bagi membantah aktiviti pembalakan di kawasan rekreasi itu kerana didakwa boleh menyebabkan air takungan bukit atau tandak yang menjadi sumber bekalan air mereka terjejas.
Dalam bantahan ketiga sejak 2004 itu, penduduk meminta kawasan tersebut diwartakan sebagai rizab tadahan air supaya tidak ada lagi cubaan untuk memohon lesen pembalakan di kawasan itu pada masa depan.
Namun, maklumat Jabatan Perhutanan kemudian mendedahkan, aktiviti pembalakan di kawasan itu diberikan lesen selepas permohonan lesen syarikat terbabit dipersetujui pemimpin masyarakat setempat.
Mengulas lanjut, Razali memberitahu, beliau juga akan mengadakan perjumpaan dengan penduduk bagi memberi penjelasan berhubung rayuan itu bagi mengelak timbul salah faham.
“Pada perjumpaan dengan pengurusan syarikat balak, mereka kecewa dan terkilan kerana tidak ada bantahan ketika kerja mengalih paip air dibuat sebelum pembalakan sedangkan pemimpin setempat sudah tahu lebih awal.
“Malah, syarikat ini mendakwa ambil masa sebulan untuk buat jalan masuk ke kawasan pembalakan dan jika penduduk buat bantahan awal, mereka tidak perlu menghabiskan masa dan wang yang banyak,” katanya.
Tambah Razali, jika rayuan untuk membawa keluar balak itu diluluskan, beliau meminta syarikat terbabit supaya menyelesaikannya dalam tempoh seminggu.
“Saya minta mereka selesaikan kerja-kerja bawa keluar balak dalam masa seminggu dan saya sendiri akan buat pemantauan supaya tidak ada pokok balak lain ditebang,” katanya.
Post a Comment