BERITA TERKINI

Friday, 19 December 2014

Pensyarah maut kereta bertembung lori

Advertisement
KUANTAN- Seorang pensyarah Kolej Matrikulasi Pahang, Gambang, maut selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 40 Jalan Kuantan-Segamat, berhampiran Batu 8, Lepar, dekat sini , kelmarin.

Kemalangan kira-kira jam 5 petang itu menyebabkan mangsa, Mohamed Fauaad Hassan, 41, dari Batu 8, Lepar, Gambang, Kuantan, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan anggota badan.


Manakala pemandu lori yang dikenali sebagai Din berusia dalam lingkungan 30-an  cedera di kaki sebelum dihantar menerima rawatan  di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, bagaimanapun keadaannya dilaporkan stabil.

Pemangku Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri,  Deputi Superintendan Mohamad Noor Yusuf Ali berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika Mohd Fauaad yang memandu kereta jenis Produa Kancil dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerjanya.

Menurutnya,  sebaik tiba di tempat kejadian, kereta dipandunya dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori yang datang dari arah Segamat menuju ke Kuantan.

“Akibat pertembungan itu, kereta mangsa remuk manakala dia  tersepit di tempat duduk pemandu.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian segera menghulurkan bantuan dengan menghubungi pihak berkuasa,” katanya, ketika dihubungi, di sini, semalam.

Mohd Noor berkata, mangsa  disahkan sudah meninggal dunia di tempat kejadian oleh anggota perubatan yang tiba kira-kira 20 minit kemudian sebelum mayatnya  dihantar ke HTAA untuk dibedah siasat.

“Polis  masih menjalankan siasatan bagi mengetahui punca sebenar kejadian termasuk mengambil keterangan daripada saksi dan pemandu lori untuk tindakan lanjut,” katanya.

Post a Comment