BERITA TERKINI

Tuesday, 3 June 2014

Penyelia tapak binaan maut lori terbabas

Advertisement
JELI - Seorang penyelia tapak binaan maut selepas lori dinaikinya untuk ke tempat kerja terbabas dan melanggar sebuah bas yang diletakkan di tepi jalan di Kilometer 89, Jalan Kota Bharu-Machang-Gerik, dekat sini, kelmarin.

Pada kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, mangsa, Tengku Mohamad Faris Tengku Murad, 24, mati di tempat kejadian, manakala pemandu lori, Saipul Azha Derahman, 37, cedera ringan.

Bapa saudara mangsa, Rahimin Mohd, 48 berkata, ketika kejadian, anak saudaranya itu dalam perjalanan ke tapak projek seliaan mangsa di sebuah sekolah menengah, dekat sini.

Katanya, dia berada di rumahnya di Kampung Panji, Kota Bharu ketika dimaklumkan oleh majikan Tengku Mohamad Faris tentang kejadian menimpa anak saudaranya itu.

“Saya kemudian menyampaikan berita kemalangan itu kepada ibu dan bapa mangsa di rumah mereka di Kampung Kenali, Kota Bharu sebelum kami bergegas ke Hospital Jeli.

“Arwah anak kedua daripada enam beradik dan merupakan seorang anak yang baik serta peramah. Tidak ada perubahan ketara ditunjukkan arwah sebelum kejadian,” katanya.

Turut berada di Hospital Jeli untuk menuntut jenazah Tengku Mohamad Faris adalah kedua ibu bapanya, Rosiah Abdul Hamid, 48, dan Tengku Murad Tengku Mohd, 58.

Pegawai Bomba Kanan 1, Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Mat Yusoff Hamat pula memberitahu, pihaknya mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Panggilan kecemasan diterima pada jam 6.05 pagi dan enam anggota dikejarkan ke tempat kejadian. Apabila sampai, mangsa didapati sudah meninggal dunia dan tersepit di tempat duduk sebelah pemandu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Sheikh Azhar Sheikh Omar berkata, nahas melibatkan sebuah lori satu tan dan sebuah bas yang diletakkan di hadapan sebuah rumah di Kampung Gemang, dekat sini.

“Mangsa dan pemandu lori bertolak dari Kota Bharu kira-kira jam 4.30 pagi dengan membawa muatan 30 kampit simen untuk dihantar ke tapak projek yang diselia oleh mangsa.

“Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu lori dikatakan cuba mengelak kucing melintas dan hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan melanggar bahagian kiri belakang bas terbabit,” katanya.

Tambahnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Jeli untuk bedah siasat dan siasatan kes masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Post a Comment