Friday, 11 April 2014

Seorang warga Thailand dan tiga warga tempatan ditahan kerana miliki dadah

Advertisement
RANTAU PANJANG – Empat lelaki termasuk seorang daripadanya warga Thailand ditahan kerana memiliki 19 botol cerah berisi serbuk putih dipercayai dadah.

Ketua Polis Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, selepas menyedari gerak geri diperhatikan, seorang lelaki Melayu cuba melarikan diri dengan menunggang motosikal bernombor pendaftaran Thailand.

Menurutnya, berlaku pergelutan di tepi jalan Cabang Tiga Bagus antara pihak polis dengan lelaki berkenaan.

Hasil pemeriksaan badan katanya, pihak polis menjumpai lima botol cerah bertudung kuning berisi serbuk putih dipercayai dadah jenis heroin.

Suspek yang juga anak tempatan serta  menganggur ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam kejadian berasingan, Haliludin berkata, pada tarikh, masa dan tempat yang sama, seorang lelaki tempatan dan seorang lagi lelaki warga Thailand ditahan kerana memiliki enam botol serbuk putih dipercayai dadah jenis heroin.

“Kita menjumpai lima botol plastik bertudung kuning dalam poket seluar yang dipakai oleh lelaki tempatan manakala satu lagi botol plastik bertudung kuning ditemui dalam dalam tin rokok atas jalan tempat mereka ditahan. Mereka ditahan dan kes ini disiasat mengikut seksyen 39B dan seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pihak polis turut berjaya menemui lapan botol plastik berpenutup kuning, pada jam 11.45 malam, Ahad lalu.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen Kelantan berjaya menahan seorang lelaki yang  berusia 29 tahun.

Suspek yang bekerja sebagai buruh ditahan dalam serbuan di Kampung Gual Nibong, Gual Periok.

“Kes ini disiasat mengikut seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Post a Comment