Pengendali The Red Warriors, Steve Darby berkata, dia telah membuat ‘kerja rumah’ dengan melihat rakaman perlawanan bagi mengkaji corak permainan skuad kendalian Seslija Milomir menjelang pertemuan kalah mati kedua-dua pasukan itu.
“Sudah pasti saya mahu Kelantan menyingkirkan Sabah dalam tempoh 90 minit tetapi jika ditakdirkan kami diheret hingga ke masa tambahan atau sepakan penalti sekali pun, pemain saya sebenarnya lebih cukup bersedia,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Darby yang berdepan tugas berat bagi memulihkan keyakinan penyokong mereka setelah Kelantan tewas mengejut kepada PKNS FC dalam saingan Liga Super minggu lalu, bagaimanapun seboleh-bolehnya mahu pasukannya melangsaikan misi wajib menang ke atas pasukan dari kepulauan Borneo itu dalam tempoh masa permainan sebenar.
Sehubungan itu, Darby menagih kudrat empat pemain regular iaitu Khairul Fahmi Che Mat, Ahmad Fakri Saarani, Mohd Farisham Ismail dan Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim yang tidak dibawa ke Brunei ketika pasukannya bertemu Duli Pengiran Muda Mahkota (DPMM) FC pada aksi persahabatan Jumaat lalu untuk mempamerkan aksi lebih cemerlang pada perlawanan ini.
“Minggu yang sukar bagi kami. Selepas menentang Sabah, kami perlu ke Ipoh pada Sabtu ini untuk bertemu Perak. Jadi lebih baik perlawanan ini berakhir dalam tempoh berkenaan bagi memastikan pemain saya mendapat rehat yang mencukupi,” katanya.
Dalam perkembangan sama, jurulatih kelahiran England itu turut memberi perkhabaran gembira apabila mengesahkan khidmat perancang tengah dari Mesir, Mohamed Shawky Aly bakal kembali memperkuatkan pasukannya ketika Amar Rohidan dan Muhammad Nazri Ahmad hampir pasti tersisih akibat masalah kecederaan.
“Mohamed Shawky bermain selama 45 minit pada aksi persahabatan menentang DPMM FC. Ini satu perkembangan baik namun keputusan akhir sama ada dia boleh beraksi atau tidak akan ditentukan esok (hari ini). Jika dia boleh bermain, bererti salah seorang penyerang import kami, Mohamad Ghaddar atau Francis Forkey Doe akan berada di bangku simpanan,” katanya.
Post a Comment