Lebih menyedihkan, Nor Syafiqa Eddie Hariry, 10, pergi selang sehari selepas bapanya, Eddie Hariry Mohd Nor, 33, meninggal dunia akibat kejadian tong gas bocor tersebut.
Nor Syafiqa meninggal dunia jam 6.45 petang disisi ibunya, Norizan Abdullah, 35.
Norizan berkata, dia tidak sempat mendengar kata-kata terakhir anaknya itu kerana berada di rumah menguruskan pengebumian suaminya.
“Sebaik saya tiba di hospital, jururawat memaklumkan anak saya memanggil papanya tetapi selepas itu keadaannya amat lemah sehinggalah dia menghembuskan nafas terakhirnya,” katanya ketika dihubungi di rumah ibunya di Kampung Kubang Mas, Tendong.
Jenazah Allahyarham Nor Syafiqa dikebumikan di sebelah kubur bapanya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kubang Mas, jam 10.30 pagi semalam.
Norizan berkata, walaupun sukar menerima kenyataan dua insan disayanginya itu telah pergi buat selama-lamanya, namun dia reda dengan ketentuan ALLAH SWT.
“ALLAH SWT lebih menyayangi mereka. Saya perlu tabah meneruskan hidup untuk membesarkan lima anak saya yang masih kecil,” katanya yang mempunyai anak berusia 2 hingga 14 tahun.
Dalam kejadian 21 Mei lalu, Eddie Hariry dan Nor Syafiqa parah, sementara seorang lagi anak perempuannya berusia 2 tahun, Nor Syakira Anis melecur akibat disambar api berpunca daripada kebocoran tong gas di rumah mereka di Taman Mimi, Kota Kubang Labu.
Post a Comment