BERITA TERKINI

Monday, 10 March 2014

Mat gian ditangkap curi wayar elektrik

Advertisement
KUALA DUNGUN – “Saya bukan mencuri, cuma datang ke sini untuk berehat,” itulah alasan tidak munasabah diberikan seorang pencuri yang ditahan di sebuah rumah kosong, dekat sini, petang semalam.

Pencuri terbabit berjaya diberkas selepas polis melakukan kepungan di sebuah bangunan terbiar ekoran maklumat mengatakan suspek sedang meleraikan komponen wayar elektrik di bangunan lama itu.

Menyedari kehadiran polis, penjenayah terbabit cuba menyembunyikan diri, namun selepas pemeriksaan dilakukan, suspek ditemui menyorok di sebalik pintu.

Turut ditemui bersama suspek, tukul besi serta sebahagian daripada wayar elektrik yang sudah dileraikan dari bangunan tersebut.

Lelaki yang ditahan kira-kira jam 6.30 petang itu dikatakan sanggup datang sejauh hampir 10 kilometer semata-mata untuk mendapatkan wayar di bangunan lama itu.

Suspek dipercayai menjual semula wayar tersebut di pusat barang lusuh selepas meleraikannya.

Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis morfin dan polis tidak menolak kemungkinan suspek mencuri wayar berkenaan untuk mendapatkan wang bagi membeli dadah.

Suspek berusia 26 tahun itu kini ditahan reman sementara menunggu kertas siasatan dilengkapkan sebelum dihadapkan ke mahkamah atas jenayah dilakukan.

Ketua Polis Daerah, Pemangku Superintendan Ahmad Zailani Yaacub mengesahkan tangkapan tersebut.

Post a Comment