BERITA TERKINI

Tuesday, 3 June 2014

Taktik warga Thailand cuba seludup minyak gagal

Advertisement
RANTAU PANJANG – Cubaan seorang lelaki warga Thailand menggunakan taktik menutup tangki minyak tambahan dengan bumper kereta gagal.

Kedudukan tangki di bahagian bawah dekat tayar belakang sukar dikesan kerana ditutupi sepenuhnya oleh aksesori kenderaan berkenaan.

Namun, lelaki terbabit yang memandu kereta jenis Proton Iswara dari Rantau Panjang ke rumahnya dekat Pattani, Thailand, berjaya ditahan pihak penguat kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Koperasi Kepenggunaan (PPDNKK) Kelantan.

Suspek berusia 33 tahun itu mendakwa sering membeli petrol RON95 dari Rantau Panjang selepas bekerja di Zon Bebas Cukai.

“Saya beli untuk kegunaan sendiri dan selebihnya dijual untuk menambah pendapatan bagi menampung perbelanjaan isteri serta anak yang masih kecil," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah PPDNKK, Ab Ghani Harun berkata, lelaki terbabit didapati melakukan kesalahan memiliki kenderaan yang diubahsuai untuk menyeludup petrol.

Menurutnya, suspek menggunakan taktik mengaburi pandangan pihak berkuasa dengan membina tangki tambahan, bawah kereta dekat tempat tayar simpanan.

Beliau berkata, tangki tambahan itu boleh mengisi minyak lebih RM100 dalam satu-satu masa namun siasatan lebih terperinci akan dijalankan.

“Penyeludup ini dipercayai menggunakan modus operandi mengisi petrol tidak melebihi RM30 di satu-satu stesen minyak.

“Disebabkan kedudukan stesen minyak di sini agak dekat, maka mereka tidak berdepan kesukaran untuk membeli petrol di setiap stesen minyak dekat Rantau Panjang,” katanya.

Post a Comment