BERITA TERKINI

Tuesday, 20 May 2014

Dua kebakaran berlaku selang 10 minit

Advertisement
TANAH MERAH - Sebuah rumah kediaman dan sebuah rumah kedai musnah dalam dua kebakaran berasingan yang berlaku selang 10 minit di sini, petang kelmarin.

Pada kejadian pertama kira-kira jam 6.20 petang, sebuah keluarga enam beranak tinggal sehelai sepinggang apabila rumah yang didiami mereka sejak 22 tahun lalu terbakar di Kampung Alor Pasir, dekat sini.

Mangsa, Fakarina Yusoff, 38, berkata, kejadian berlaku ketika dia berada di rumah emaknya di Kampung Bukit Kechik, manakala suaminya, Che Saupi Che Noh, 46, berada di tempat kerja.

Menurutnya, rumah pusaka itu didiaminya bersama suami dan tiga anak mereka yang berusia 7, 14 dan 16 tahun, manakala seorang lagi anaknya sudah berumah tangga dan bekerja di ibu negara.

“Saya hanya tahu mengenai kejadian apabila diberitahu seorang anak saya dan apabila sampai di rumah, semuanya sudah hangus,” katanya ketika ditemui di Kampung Alor Pasir, semalam.

Menurut Fakarina, selain peralatan rumah dan sebuah motosikal, buku sekolah serta dokumen penting anaknya seperti surat lahir dan kad pengenalan turut musnah dalam kebakaran itu.

“Buat masa sekarang, kami sekeluarga menumpang di rumah seorang saudara,” katanya yang mempunyai tiga anak perempuan dan seorang anak lelaki berusia antara 7 dan 21 tahun.

Nasib sama menimpa sebuah lagi keluarga lima beranak yang hilang tempat berteduh apabila rumah kedai didiami mereka di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Tanah Merah 1, dekat sini, terbakar.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang, keluarga itu dianggarkan mengalami kerugian kira-kira RM50,000 selepas tempat kediaman dan kedai makan mereka musnah dijilat api.

Mangsa, Rosli Ismail, 42, yang mengusahakan kedai kimpalan berkata, kejadian berlaku ketika dia dalam perjalanan ke rumah pelanggan apabila dimaklumkan seorang anaknya mengenai kejadian itu.

Katanya, apabila sampai, rumah yang menjadi tempat dia sekeluarga berteduh dan isterinya berniaga mee celup sejak 11 tahun lalu sedang marak dijilat api.

“Waktu kejadian, seorang anak saya, Rais Rafi, 19, sedang tidur, manakala isteri saya, Salma Mat Yusoff, 42, berada di rumah seorang kawannya.

“Anak saya hanya sedar apabila terasa bahang panas dan bila lihat asap tebal dan api marak, dia terus berlari keluar tanpa sempat selamatkan apa-apa barang,” katanya.

Tambahnya, buat sementara waktu, seorang pemilik kedai makan berdekatan yang kosong membenarkan dia sekeluarga menumpang di premis itu.

Ketua Balai, Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Penolong Penguasa Bomba, Hanaffi Mohd pula berkata, panggilan kecemasan kebakaran rumah di Kampung Alor Pasir diterima pada jam 6.21 petang.

“Seramai enam anggota dikejarkan ke tempat kejadian dan apabila kami sampai di lokasi pada jam 6.38, kira-kira 90 peratus rumah itu sudah terbakar,” katanya.

Menurutnya, bagi kejadian di hadapan SK Tanah Merah 1, panggilan kecemasan diterima pada jam 6.35 petang dan bantuan Balai Bomba dan Penyelamat Machang terpaksa diminta bagi membantu memadam kebakaran.

“Dalam kejadian di hadapan SK Tanah Merah 1, tindakan pantas bomba berjaya mengawal api daripada merebak ke kedai motosikal bersebelahan.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kedua-dua kejadian, manakala punca kebakaran dan jumlah kerugian bagi dua kes ini masih dalam siasatan,” katanya.

Post a Comment