BERITA TERKINI

Thursday, 20 February 2014

Harapkan pagar,pagar makan padi

Advertisement
KAMPAR - Harapkan pagar, pagar makan padi.Begitulah ungkapan bagi Seorang lelaki berusia 18 tahun yang juga pekerja sebuah stesen minyak rupanya dalang kejadian samun tempat dia bekerja di Kuala Dipang, di sini, Ahad lalu.

Ketika kejadian, lelaki yang bekerja hampir dua tahun di premis itu bersama tiga rakan lain berusia antara 20 hingga 23 tahun melarikan wang tunai berjumlah RM9,000 daripada stesen minyak berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, berdasarkan siasatan, pekerja stesen terbabit dipercayai memanggil rakan-rakannya untuk melakukan samun semasa dia bertugas di kaunter stesen minyak berkenaan dan akan berlakon menjadi mangsa.

Menurutnya, ia adalah kejadian kedua selepas kejadian pertama berlaku pada hujung tahun lalu yang turut melibatkan pekerja berkenaan.

“Susulan kejadian, pemilik stesen minyak membuat laporan polis dan keempat-empat suspek berjaya diberkas beberapa jam kemudian.

“Hasil pemeriksaan mendapati kumpulan penjenayah berkenaan telah membelanjakan RM3,000 daripada wang disamun,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar, semalam.

Beliau berkata, keempat-empat lelaki terbabit ditahan reman selama tujuh hari dan mereka dijangka akan didakwa di Mahkamah Majistret Kampar, hari ini.

Katanya, dengan tertangkapnya kesemua suspek berkenaan, polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya dua kes samun stesen minyak di sini

Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkawan tanpa senjata api  yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Post a Comment