BERITA TERKINI

Tuesday, 20 May 2014

Seorang doktor alami kerugian RM35,000 rumah dipecah masuk

Advertisement
KOTA BHARU - Seorang doktor di sebuah hospital di sini mengalami kerugian RM35,000 selepas kediamannya dipecah masuk dalam kejadian di Wakaf Stan, di sini, petang kelmarin.

Kejadian hanya disedari mangsa selepas pulang dari kampung halamannya di Kulim, Kedah, dan apabila sampai di rumah kira-kira jam 1 petang, dia dapati dalam rumah berselerakan manakala pintu-pintu bilik dalam keadaan terbuka dan terdapat kesan diumpil.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, menurut mangsa, sebelum meninggalkan rumah pada Khamis lalu, dia telah memastikan tingkap dan pintu dalam keadaan berkunci.

“Mangsa hanya menyedari rumahnya dimasuki pencuri selepas pulang ke rumahnya dan dapati pelbagai barangan dalam rumah hilang.

“Antara barang-barang terbabit termasuk kamera SLR jenama Canon 550 D, empat bentuk cincin emas, tiga gelang tangan emas, dua rantai leher emas, satu rantau leher emas putih, sepasang subang, dua jam tangan jenama Swatch, sebuah jam tangan jenama Fossil dan sebuah jam tangan Guess,” katanya ketika dihubungi semalam.

Azham berkata, hasil siasatan yang dilakukan di rumah mangsa mendapati rumahnya berpagar dan suspek dipercayai masuk melalui pintu belakang dan pintu kayu di bahagian dapur diumpil dan grill bahagian dalam telah dipotong.

“Barang kemas yang hilang adalah milik isteri doktor itu yang diletakkan dalam kabinet di bilik tidur utama. Manakala kamera diletak di bilik anak mangsa dan kita berjaya mengesan cap jari suspek di kawasan kejadian. Kes ini disiasat di bawah seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK) kerana samun bersenjata," katanya.

Post a Comment