BERITA TERKINI

Monday, 24 February 2014

Dua suspek ditahan kes pecah rumah

Advertisement
KUANTAN - Polis menahan dua daripada tiga lelaki dipercayai terlibat dalam kegiatan pecah rumah di Taman Kempadang dan Taman Berjaya Permai, di sini semalam.

Dalam kejadian 12 tengah hari itu, dua anggota polis Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang meronda di Taman Kempadang, terserempak sebuah kereta Perodua Viva yang dinaiki tiga lelaki berumur 20-an dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata apabila dihampiri, pemandu kereta itu bertindak memecut kenderaannya, namun dipintas dua anggota polis berkenaan sebelum dapat menahan seorang daripada suspek selepas satu pergelutan.

Bagaimanapun dua lagi suspek melarikan diri dalam kawasan semak berhampiran.

Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan suspek, polis menemui semula satu unit televisyen bersama dua utas jam tangan yang dilarikan suspek sebelum itu selepas memecah masuk sebuah rumah di Taman Berjaya Permai pukul 2.15 pagi, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota polis Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan kemudian menahan seorang lagi suspek di Taman Berjaya Permai tidak lama selepas itu," kata Mohd Jasmani.

Katanya, hasil keputusan ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek disahkan positif dadah jenis methamphetamine dan seorang daripadanya dikehendaki polis untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mohd Jasmani berkata kedua-dua suspek kini ditahan reman dan usaha mengesan seorang lagi suspek sedang giat dijalankan.

Post a Comment