BERITA TERKINI

Monday, 15 December 2014

Akad nikah di hospital akibat imam demam denggi

Advertisement
TEMERLOH – Pasangan pengantin baharu yang telah enam tahun menyulam cinta tidak menyangka terpaksa dinikahkan di Wad Bunga Raya 2 Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) di sini selepas imam yang menikahkan mereka disahkan menghidap demam denggi.

 Pasangan Mohd Nor Akhmal Maksom, 29, dan Yusmani Rahmat, 28, pada mulanya membuat persiapan untuk majlis akad nikah di rumah pengantin perempuan di Kampung Tanjung Kerayong, Mentakab yang sepatutnya berlangsung semalam.


 Bagaimanapun Mohd Nor Akhmal berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan ketua Kampung Tanjung Kerayong, Abdul Mubin Ismail majlis tersebut terpaksa dibuat di Hoshas selepas Imam 1 Masjid Besar Mentakab, Mohamad Azmir Al-Rashid dimasukkan ke Hospital petang kelmarin akibat demam denggi. “Saya sebenarnya tidak tahu perkara ini, baru pagi ini saya dimaklumkan sebaik tiba bersama rombongan pengantin lelaki dari Meru, Klang.

 “Kami akur dengan perkara ini asalkan majlis ini dapat berlangsung dengan sempurna, Alhamdulillah semuanya berjalan lancar,” katanya yang tiba bersama 10 kereta dari Klang semalam. Sementara itu pengantin perempuan, Yusmani Rahmat berkata, perkenalan mereka bermula melalui laman sosial dan akhirnya selepas enam tahun dia diijabkabulkan.

 “Kami bekerja kilang di Shah Alam, berlainan syarikat tetapi sama-sama bekerja dan tinggal di sana. Selepas kahwin kami akan tinggal dan memulakan hidup di sana,” katanya kepada Sinar Harian. Yusmani berkata, dia anak kedua dari lapan beradik, yang mana kedua ibu bapanya sudah meninggal dunia. Katanya, pada majlis diadakan semalam, dia menerima wang hantaran RM5,000 berserta lima dulang hantaran dan membalas tujuh hantaran kepada pihak lelaki.

 “Saya sangat gembira dan tidak sangka pada hari kami bergelar raja sehari mencipta sejarah buat Hoshas dan kampung kelahiran saya,” katanya. Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tanjung Kerayong Abdul Mubin Ismail yang turut hadir pada majlis itu turut merakamkan penghargaan kepada pihak hospital yang beri kebenaran majlis tersebut dilangsungkan di Hoshas.

Post a Comment