Memang tidak semuanya manis. Begitulah takdir dihadapi oleh kumpulan Sepahtu apabila mereka diberi tanggungjawab menggalas peranan sebagai penyampai radio.
‘Beban’ itu kata Shuib, dirasai terutama apabila dia bersama dua lagi anggota Sepahtu Jep dan Rahim, mengambil alih segmen yang sejak sekian lama dikendalikan oleh penyampai terdahulu.
“Menjadi penyampai radio dan menggantikan personaliti yang sudah berkecimpung hampir sedekad untuk segmen berkenaan bukan tugas mudah.
“Pendengar memaki-hamun kami pada bulan pertama menerusi ruang komen di Facebook,” katanya kepada Malaysiakini selepas majlis pelancaran single kumpulan Indonesia, Radja di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Selama sembilan tahun pendengar segmen Sinar Pagi dibuai dengan keletah tiga juruhebah terdahulu, Raja Azura, Salih Yaacob dan Khairil Rashid.
Segmen itu bermula pada 6 hingga 10 pagi setiap Isnin hingga Jumaat.
Namun, ekoran dari pertukaran itu, Raja Azura diberi notis pemberhentian, Salih ditukar ke segmen petang dan Kharil pula menumpukan tenaganya di sebuah syarikat iklan radio.
Disebabkan sudah ‘terbiasa’ dengan senario pagi selama bertahun-tahun, mungkin pendengar Sinar FM berasa agak keberatan untuk menerima pembaharuan dilakukan.
Asam garam itulah yang terpaksa didepani kumpulan Sepahtu, termasuk Shuib ketika mula mengendalikan Sinar Pagi sejak Disember 2015.
“Kru pagi berkhidmat selama bertahun di stesen radio berkenaan, tiba-tiba tukar orang baru, apa yang akan dirasai oleh pendengar?
“Biarpun orang itu bagus sekalipun, khalayak masih akan memberi komen. Sebagai contoh, cuba kita bayangkan setiap hari kita makan nasi lemak tetapi tiba-tiba tukar sandwic yang tidak kena dengan tekak," katanya.
Post a Comment