TUMPAT - Seorang warga emas ditemui mati lemas selepas terjatuh ke dalam tali air ketika meniti titian buluh berdekatan rumahnya di Kampung Padang Mandol, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mayat mangsa, Mek Che Him, 85, ditemui penduduk kampung dalam keadaan terapung di tali air yang hanya terletak hampir 10 meter dari rumahnya.
Cucunya, Roslida Abdul Razak, 44, berkata, neneknya selalu berulang alik menyeberangi tali air itu untuk ke rumah anak sulungnya.
Katanya, dia ada ternampak kelibat neneknya berjalan di atas titian buluh itu ketika sibuk mengemas rumah neneknya kira-kira jam 9 pagi.
“Saya tidak mengesyaki apa-apa kerana nenek sudah biasa meniti di titian buluh ini. Saya nampak nenek hampir sampai di tebing seberang sana, lalu meneruskan kerja mengemas rumah.
“Kemungkinan nenek tergelincir dan jatuh ke dalam tali air ketika hampir sampai ke tebing di seberang sana,” katanya yang tinggal bersama neneknya itu.
Menurutnya, sejam kemudian dia dikejutkan dengan jeritan ibunya, Che Yah Che Kob, 64, mengatakan neneknya terapung di dalam tali air.
Katanya, dia ketika itu sedang bersiap untuk sarapan pagi terus bergegas ke lokasi kejadian untuk melihat apa yang berlaku.
“Saya nampak mayat nenek terapung di dalam tali air itu berhampiran tebing, saya terus menghubungi polis memaklumkan perkara itu,” katanya.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya.
Sementara itu, Ketua Polis Tumpat, Superintendan Zaharudin Rasip ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
“Kematian mangsa tiada unsur jenayah dan hasil bedah siasat berpunca daripada lemas,” katanya.
Post a Comment