BERITA TERKINI

Wednesday, 13 August 2014

Dua pelajar kolej cedera ditetak dan dilibas parang

Advertisement
KEMAMAN - Dua pelajar sebuah kolej swasta cedera ditetak dan dilibas parang sejurus diserang dua lelaki yang memakai penutup muka dalam kejadian di sebuah rumah di Blok Alamanda B, Bandar Baru Bukit Mentok, di sini, malam kelmarin.

Serangan dipercayai bermotif dendam lama itu berlaku kira-kira jam 10 malam semasa salah seorang mangsa yang berusia 19 tahun berada di ruang tamu.

Akibat serangan itu, mangsa luka enam sentimeter di belakang kepala dan menerima lima jahitan, disyaki dihentak dengan belakang parang sementara rakannya yang berusia 25 tahun luka di lengan kiri.

Sangka mahu rompak

Mangsa berumur 19 tahun itu yang enggan namanya disiarkan berkata, dia yang ketika itu sedang duduk menghadap komputer riba tergamam apabila dua lelaki meluru masuk ke dalam rumah dengan masing-masing memegang sebilah parang dan sebatang besi panjang.

“Saya sangka mereka mahu merompak, jadi serta-merta saya tundukkan kepala sebab mereka berdua merapati saya.

“Tiba-tiba saya rasa sakit yang teramat sangat di bahagian kepala dan bahu serta cecair panas meleleh dari kepala, lantas saya tolak salah seorang lelaki itu yang pegang besi dan dia jatuh dengan kain penutup mukanya juga tercabut, jadi saya nampak jelas mukanya. Saya kenal lelaki itu,” katanya.

Mangsa kemudiannya berlari masuk ke dalam bilik tidur dan mengunci pintu untuk menyelamatkan diri sementara dua lelaki itu segera keluar dari rumah untuk melarikan diri.

Katanya, dua lelaki terbabit adalah senior kolejnya dan mereka pernah berselisih faham dua bulan lalu.

Tumpang rumah rakan sekolej

Mangsa menumpang sementara di rumah dihuni tujuh rakan sekolejnya sejak tiga hari lalu dan ketika kejadian, dua rakannya sedang berbual di luar rumah.

Beberapa saat sebelum serangan, kedua-dua rakannya itu juga melihat sebuah Perodua Viva berhenti tidak jauh dari rumah mereka dan keluar dua suspek dari pintu belakang yang memakai penutup muka dan meluru ke dalam rumah, di dalam kereta itu dipercayai terdapat dua lagi lelaki.

Sebaik kedua-dua suspek keluar, rakannya berusia 25 tahun yang berada di luar rumah cuba menahan suspek yang memegang parang, namun dia dilibas dengan senjata itu menyebabkan dia cedera di lengan kiri.

Bagaimanapun, salah seorang suspek berjaya ditangkap di Blok Akasia, kira-kira 600 meter dari lokasi kejadian hasil tindakan pantas sekumpulan 15 pemuda Bandar Baru Bukit Mentok yang bertindak mengejar suspek sejurus menyedari kejadian itu.

Seorang lagi suspek yang berlari ke dalam semak berjaya meloloskan diri, manakala kedua-dua mangsa kemudiannya dihantar jiran ke Hospital Kemaman dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.

JKKK puji tindakan belia

Dalam pada itu, Pengerusi JKKK Bandar Baru Bukit Mentok, Zolkeple Mohamad memuji tindakan pantas belia kawasannya hingga suspek dapat ditangkap segera.

“Kejadian ini merupakan kes pertama seumpamanya di kawasan ini. Kita dalam proses penubuhan Kawasan Rukun Tetangga (KRT), jadi komitmen padu belia seperti ini memberi petanda cukup baik. Lepas dapat tahu kes ini, saya segera hubungi polis dan polis tiba dengan cepat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam mengesahkan menerima laporan berhubung kes itu dan siasatan lanjut sedang dilakukan.

Post a Comment