Dalam kejadian jam 3.50 pagi itu, mangsa, Tan Kok Wei, 40, dikatakan maut ketika cuba mengambil kunci di tingkat bawah untuk membuka pintu belakang premis yang terbakar tersebut.
Bapa mangsa, Tan Kow Kiah, 64, berkata, mangsa merupakan anak sulungnya daripada empat beradik dan sudah berkahwin serta mempunyai dua anak.
Katanya, kehilangan mangsa amat dirasai mereka sekeluarga memandangkan anak sulungnya itu sering membantunya menjalankan perniagaan di samping sering mengambil berat terhadap keluarga.
“Mendiang merupakan seorang anak dan suami yang baik serta penyayang terhadap ahli keluarganya.
“Kehilangannya amat dirasai kami sekeluarga, namun kami relakan pemergiannya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.
Sementara itu, Ketua Zon Perak Utara Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Zainuddin Abdul Rahim berkata, mangsa ditemui rentung dalam keadaan bersujud sambil menggenggam segugus kunci rumah.
Menurutnya, seramai 13 anggota bomba diketuai Ketua Operasi, Mohd Alias Bahari dan dibantu enam pasukan bomba sukarela tiba di lokasi kejadian kira-kira empat minit selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 4 pagi.
“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, kami mendapati api marak di bahagian tingkat bawah bangunan dan mendapati terdapat enam mangsa terperangkap di pintu belakang bangunan itu.
“Semua mangsa terperangkap di dalam premis disebabkan terlalu banyak pengunci diletakkan di pintu belakang kedai itu, menyebabkan anggota bomba terpaksa menggunakan gergaji pemotong khas untuk meleraikan tiga mangga," katanya.
Turut serta, Penolong Pengarah Operasi Negeri Perak, Hasrin Hasbi dan Ketua Polis Daerah Kerian, Asisten Komisioner Mat Fauzi Nayan.
Zainuddin berkata, tindakan pantas anggota bomba berjaya mengeluarkan lima mangsa, namun seorang maut akibat terperangkap di bahagian hadapan kedai, dipercayai cuba mengambil kunci rumah.
Katanya, berdasarkan keterangan saksi, mangsa difahamkan orang pertama menyedari kebakaran tersebut dan segera mengejutkan ahli keluarga yang tidur di tingkat dua bangunan untuk menyelamatkan diri.
Beliau berkata, saksi turut memaklumkan mangsa turun ke bahagian pintu belakang premis lebih awal, namun berpatah balik ke hadapan kedai dipercayai cuba mengambil kunci untuk membuka mangga pintu.
Dua kereta turut rentung
Dalam pada itu, Zainuddin berkata, Siasatan awal mendapati rumah kedai itu digunakan untuk menjalankan perniagaan barangan runcit dan kebakaran dipercayai bermula di bahagian hadapan tingkat bawah premis berkenaan.
Katanya, premis tersebut terbakar 50 peratus dan kebakaran turut memusnahkan barangan perniagaan serta dua kenderaan jenis Mercedez Benz.
Beliau berkata, anggota bomba dengan kekuatan dua jentera dariBalai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai dan Kuala Kurau serta tujuh jentera Bomba Sukarela berjaya memadamkan kebakaran sepenuhnya dalam tempoh 30 minit.
“Usaha menyelamatkan lima mangsa terperangkap pula memakan masa empat hingga lapan minit dari tempoh kami tiba di lokasi kejadian,” katanya.
Beliau berkata, kesemua mangsa terselamat merupakan pemilik bangunan, Tan Kow Kiah, 64; ibu mangsa, Ong Faw Eng, 63; isteri mangsa, Boon Poey Ling, 37; dan dua anak mangsa iaitu Tan Zhi Yi, 12, dan Phyllis Tan Zhi Yi, 5.
Katanya, Kow Kiah yang mengalami kecederaan di bahagian tangan kanan dihantar ke Hospital Parit Buntar dan menerima rawatan sebagai pesakit luar, manakala mayat mangsa dihantar ke bahagian forensik hospital sama untuk bedah siasat.
Zainuddin berkata, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih disiasat.
Nekad selamat mangsa
Insiden kebakaran tersebut turut menyebabkan seorang anggota Bomba dan Penyelamat Bagan Serai tercedera ketika dia cuba membuka mangga kunci premis yang terbakar itu bagi menyelamatkan lima mangsa yang terperangkap.
Serat Yusof, 52, berkata, beliau bersyukur kerana tindakan nekadnya itu berjaya menyelamatkan lima beranak terbabit.
Dia yang ditemui di wad kecemasan Hospital Parit Buntar berkata, walaupun kedua-dua pergelangan tangannya melecur, dia tidak kesal kerana yang lebih penting baginya adalah menyelamatkan nyawa mangsa.
“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, saya dapat melihat kelima-lima mangsa kebakaran termasuk dua kanak-kanak menjerit ketakutan di pintu belakang premis kerana pintu itu terkunci dari bahagian dalam.
“Saya cuba potong mangga menggunakan gergaji khas tetapi jumlah mangga yang banyak menyukarkan usaha saya, ditambah pula bahang panas.
“Kedua-dua pergelangan tangan saya mula melecur terkena bahang api kebakaran, namun saya nekad terus buka mangga itu dan bersyukur usaha itu berjaya serta mangsa dapat keluar menyelamatkan diri,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Asisten Komisioner Mat Fauzi Nayan sewaktu ditemui mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan siasatan mengenainya sedang dijalankan.
Post a Comment