BERITA TERKINI

Monday, 2 June 2014

Jurukimpal didenda kerana memiliki buku lima

Advertisement
KOTA BHARU - Tindakan seorang jurukimpal memiliki buku lima bulan lalu, membawa padah apabila dia didenda RM1,200 oleh mahkamah majistret, di sini, semalam.

Hukuman diputuskan Majistret, Mohd Isa Mohamad terhadap Muhamad Ariza Ramli, 24, selepas tertuduh mengaku salah.

Dia didakwa memiliki senjata berbahaya iaitu buku lima tanpa maksud sah atau kebenaran sah daripada pihak berkuasa pada jam 11.30 malam, di Jalan Tok Guru, Baung, di sini, 31 Mei lalu.

Pada prosiding semalam, tertuduh memohon hukumannya diringankan kerana sudah mendirikan rumah tangga dan mempunyai anak berusia setahun setengah.

“Saya mohon denda minimum kerana saya ada tanggungan anak yang masih kecil,” katanya.

Mohd Isa bagaimanapun memutuskan denda itu dan mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dalam tempoh dua bulan, jika denda itu gagal dijelaskan.

Denda diputuskan mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tempoh dua tahun atau denda tidak melebihi RM2,000.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, SM Wong, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Post a Comment