BERITA TERKINI

Friday, 18 April 2014

Seorang pelajar maut kemalangan jalanraya

Advertisement
JELI - Seorang pelajar berusia 13 tahun maut selepas motosikal ditungganginya dirempuh sebuah kereta di Kilometer 1, Jalan Gunung Reng-Batu Melintang, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang, Safix Bazli Shaiful Bahrin yang cedera di kepala dan badan meninggal dunia selepas kira-kira tiga jam menerima rawatan di Hospital Jeli, dekat sini.

Ibu mangsa, Norlaila Abu Bakar, 45, berkata, kejadian berlaku ketika anak keempatnya daripada lima beradik itu dalam perjalanan ke kedai untuk membeli peralatan sekolah.

“Kira-kira 10 minit sebelum kejadian, arwah beritahu saya, dia nak keluar ke kedai berhampiran dengan menunggang motosikal untuk beli peralatan sekolah,” katanya ketika ditemui di Hospital Jeli, kelmarin.

Norlaila berkata, dia tidak menyangka perubahan sikap anaknya itu yang agak manja dan ingin makan bersama ahli keluarga selepas pulang dari sekolah sebelum kejadian menjadi petanda Safix Bazli akan pergi buat selama-lamanya.

“Arwah bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Melintang dan seorang anak yang baik serta tidak pernah membantah nasihat saya dan bapanya yang mengambil berat soal pelajarannya,” katanya.

Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Sheikh Azhar Sheikh Omar pula berkata, nahas dipercayai berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Kampung Gunung Reng ke Batu Melintang, dekat sini.

“Apabila sampai di tempat kejadian, mangsa yang menunggang motosikal Honda Wave dipercayai cuba memotong sebuah kereta sebelum bergesel dengan kenderaan terbabit dan masuk ke lorong bertentangan.

“Sebuah kenderaan yang datang dari arah Batu Melintang ke Kampung Gunung Reng tidak sempat mengelak, lalu merempuh motosikal mangsa,” katanya.

Tambahnya, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Jeli sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 7 malam akibat cedera parah di kepala dan badan.

"Jenazah mangsa dituntut ahli keluarga pada jam 11.28 malam untuk urusan pengebumian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Post a Comment