BERITA TERKINI

Thursday, 27 February 2014

Penyamun menyamar pegawai JKM

Advertisement
JEMPOL - Sepasang suami isteri di Kampung Taman Jaya kerugian kira-kira RM70,000 apabila disamun sekumpulan lelaki yang menyamar sebagai pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Isnin lalu.

Kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu ketika mangsa, R. Tangappa, 65, dan isterinya D. Govindamah, 61, didatangi dua lelaki yang mendakwa dari JKM dan mahu mendapatkan beberapa maklumat mengenai mereka.

Menurut Rangappa, dia dan isteri tidak mengesyaki apa-apa sebelum menjemput kedua-dua lelaki itu masuk untuk meneruskan perbincangan.

"Namun secara tiba-tiba, datang lagi tiga lelaki yang juga berpakaian kemas meluru masuk ke dalam rumah lalu mengikat kaki, tangan serta menutup mulut kami sehingga menyebabkan isteri saya hampir sesak nafas.

"Ketika itu kami hanya membayangkan mati sahaja," katanya ketika menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kampung Taman Jaya, Rajganesh Sivam, semalam.

Sementara itu menurut Govindamah, dia dan suami dibawa ke bilik berasingan dan sekali lagi mereka dipaksa menyerahkan barang kemas sebelum penjenayah itu bertindak menggeledah almari dalam bilik sembahyang.

"Saya hanya mendiamkan diri kerana bimbang diapa-apakan mereka dan mereka meninggalkan kami selepas berjaya menjumpai sebuah beg yang berisi barang kemas turun temurun yang disimpan atas almari dalam bilik berkenaan.

"Kami berjaya meloloskan diri sebelum meminta bantuan saudara yang tinggal bersebelahan rumah dan satu laporan polis turut dibuat di Balai Polis Bahau,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hamzah Alias mengesahkan menerima laporan berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 391 Kanun Keseksaan.

Post a Comment