Musim kemarau yang melanda negara, menyebabkan puluhan keluarga di sini, berdepan masalah air.
Penduduk, Sergeri Mat Junoh, 64, berkata, masalah yang berlanjutan sejak 20 tahun lalu tidak pernah selesai sehingga memaksa penduduk mengambil air dari Sungai Tasik Ganu.
“Melihat pada pengalaman lalu, kebiasaannya penduduk akan menghadapi masalah air sehingga Mei akan datang.
“Kami mohon kerajaan negeri dan persekutuan membantu penduduk dengan mencari alternatif lain bagi mencari sumber air baharu,” katanya.
Sebelum ini katanya, masalah yang sama menimpa penduduk di Kelar, Pasir Mas dan mereka mendapat bantuan pembinaan telaga tiub daripada kerajaan negeri.
Begitu juga dengan keperluan penduduk di Belukar Pasir Mas, mereka mendapat peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan untuk membina penapis air 1Malaysia.
Mohon bantuan AKSB
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Md Nor Taib, 73, berkata, penduduk memohon bantuan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) untuk menyalurkan bekalan air, di sini.
Menurutnya, sekiranya bekalan air AKSB dapat disalurkan, penduduk mendapat lebih banyak alternatif untuk mendapatkan bekalan air.
“Buat masa ini, kami mempunyai hanya satu sumber iaitu perigi. Jadi, jika berdepan musim kemarau, penduduk akan menghadapi masalah kekurangan air,” katanya.
Limah Che Wil, 54, pula berkata, mereka pernah mengalami musim kemarau terburuk pada 1967, menyebabkan perigi hampir kering hampir enam bulan.
Ketika itu katanya, keadaan memaksa penduduk untuk ke sungai bagi mendapatkan bekalan air.
Selain itu katanya, penduduk juga terpaksa membeli air bagi kegunaan harian seperti memasak dan mengambil wuduk.
“Kami terpaksa memperuntukkan RM5 untuk mendapatkan satu tong air sehari.
“Ini bukan sahaja membebankan hidup, malah menyusahkan kerana terpaksa memunggah air dari kedai,” katanya.
Mahu tahu status tangki telaga tiub
Sementara itu, Mohamad, 41, berkata, tangki telaga air yang dibina kerajaan pada 1988 lalu, tidak lagi dapat menampung pertambahan bilangan penduduk di kawasan berkenaan.
Menurutnya, tangki berkapasiti hampir 2,300 liter air itu dikongsi bersama 30 keluarga, satu surau dan tabika.
Selain itu, penduduk turut memohon penjelasan pihak berkenaan mengenai projek pembinaan telaga tiub di sini.
“Kami cuma nak tahu status projek yang dimulakan pada 2005 kerana ia kelihatan hampir siap namun tidak disalurkan ke rumah penduduk.
“Sekiranya projek yang menelan kos puluhan ribu ringgit ini dapat digunakan, penduduk tidak akan berdepan dengan masalah keputusan bekalan air,” katanya.
Sementara itu, sumber AKSB berkata, disebabkan paip utama di Kampung Tasik Bakong tidak disediakan, maka bekalan air AKSB tidak dapat disalurkan.
Bagi menyelesaikan masalah itu, penduduk dinasihatkan membuat permohonan pembinaan paip utama daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).
Hanya selepas paip utama dibina, pihak AKSB dapat menyalurkan bekalan air kepada ratusan penduduk di situ.
Post a Comment