BERITA TERKINI

Saturday, 1 March 2014

Bot karam dipukul ombak

Advertisement
KOTA BHARU - Empat nelayan terpaksa berdepan detik cemas selepas bot yang dinaiki mereka karam dipukul ombak dalam kejadian di muara Pantai Mek Mas, Kuala Besar, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7 malam itu, mangsa Mohd Nor Hussein, 42, Mat Hasan @ Ismail Husin, 65, Mohamad Dollah, 40 dan Suhaimi Rashid, 30 dalam perjalanan ke laut kira-kira jam 5.30 petang selepas menaiki bot yang berlepas dari jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Menurut Mohd Nor, akibat gelombang yang kuat dia yang pada mulanya bercadang memulakan rutin harian mereka untuk menangkap ikan, cuba berpatah balik, namun belum sempat berpatah balik, bot yang mereka naiki mula dipenuhi air akibat dipukul ombak besar.

“Saya bertindak terjun ke laut dan berpaut pada tong diesel selepas air laut masuk ke dalam bot dan keadaan bot semakin lama semakin menyenget dan kemudian tumbang. Melihatkan keadaan itu, saya terus berenang ke Pulau Kuba yang terletak kira-kira 200 meter dari tempat bot karam.

“Hanya dengan bantuan tong diesel, kami terus berenang ke pulau berhampiran sebelum dibantu rakan nelayan lain yang kebetulan berada berhampiran kawasan,” katanya.

Menurut seorang lagi rakannya, Suhaimi Rashid, 30, dia hampir lemas akibat panik dan keletihan.

“Perasaan bimbang memang ada, tetapi mujur tidak lemas. Ini pengalaman pertama sepanjang 15 tahun menjadi nelayan. Mujur rakan nelayan lain menghulurkan tali dan menarik saya jika tidak saya tidak tahu apa nasib saya seterusnya," katanya.

Menurut Mohd Nor, kejadian berkenaan tidak melemahkan semangatnya untuk terus ke laut kerana pekerjaan sebagai nelayan adalah sumber rezekinya.

“Insya-ALLAH bot yang karam itu boleh dibaiki semula namun mengambil masa lama. Nilai bot itu bersama peralatannya kira-kira RM80,000.

“Ini pengalaman pertama saya berdepan detik cemas terpaksa berenang ke pulau untuk selamatkan diri,” katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

Post a Comment