Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Zainal Abu berkata, operasi diketuai Inspektor Rosli Saari sebagai Pegawai Penyelaras sambil dibantu Inspektor Hafidzal Zainal Abidin itu disertai 11 pegawai dan 103 anggota.
“Operasi dijalankan mulai jam 1 pagi hingga 3.30 pagi itu menyasarkan kegiatan lumba haram di sekitar laluan utama bandar Seremban terutamanya Jalan Yam Tuan dan Jalan Dato’ Bandar Tunggal.
“Sebanyak 26 buah kereta pelbagai jenis ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban untuk pemeriksaan lanjut,” katanya kepada pemberita, di sini, semalam.
Menurutnya, daripada jumlah tersebut, empat kereta disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana didapati memandu secara melulu dan berbahaya.
“Selain 18 saman dikenakan kepada pemandu, sejumlah saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas turut dikeluarkan kepada 39 penunggang motosikal.
Dalam pada itu, katanya, pihak polis turut menahan seorang lelaki di bawah Seksyen 45(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang motosikal semasa dalam pengaruh alkohol yang tinggi.
“Siasatan kita mendapati, suspek yang merupakan seorang anggota tentera telah lari dari tugas selama tiga tahun. Justeru, kesnya dirujuk kepada Polis Tentera Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut,” katanya.
Post a Comment