BERITA TERKINI

Sunday, 23 February 2014

Peluang BN menang cerah di Kajang

Advertisement
PAGOH - Perbalahan dalaman parti pembangkang yang semakin serius ketika ini, dilihat memberi peluang kepada BN untuk menang dalam PRK Dun Kajang pada 23 Mac depan.

Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan keadaan itu satu kelebihan kepada BN terutama wujudnya isu yang mengaitkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Di kalangan parti pembangkang kini berbelah bagi, tiada sokongan mantap kerana perbalahan sesama mereka yang boleh dikatakan agak serius. Penjelasan dibuat (oleh Anwar) untuk bertanding bagi mengukuhkan kerajaan itu dan sebagainya hanya alasan.

“Beliau sebenarnya mahu jadi menteri besar dan kita lihat kenyataan Abdul Khalid yang kata tidak akan menyerahkan jawatan kepada orang lain,” kata Timbalan Perdana Menteri itu selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) Parlimen Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh, di sini, semalam.

Muhyiddin, yang juga Ahli Parlimen Pagoh, mengulas perkembangan terkini dan peluang BN untuk merampas semula kerusi Dun Kajang.

BN kelmarin, mengumumkan Naib Presiden MCA, Datuk Chew Mei Fun sebagai calonnya untuk kerusi Dun Kajang.

Muhyiddin menyuarakan keyakinan gandingan kepimpinan baharu MCA melalui Presidennya, Datuk Seri Dr Liow Tiong Lai dan Timbalannya, Datuk Dr Wee Ka Siong, MCA mampu menarik sokongan kaum Cina dan masyarakat lain di Kajang.

Jelasnya, kesempatan tersebut harus diberikan kepada MCA untuk mengukur penerimaan masyarakat, terutama kaum Cina, dan maklum balas itu akan dijadikan sandaran bagi menilai sokongan terhadap MCA.

“Saya fikir wajar kita kekalkan (MCA bertanding di Dun Kajang) kerana kerusi (untuk) orang Cina dan wakil MCA ada di situ. Saya harap pengundi akan beri sokongan yang baik. Calon yang kita letakkan (iaitu Mei Fun) sesuai.

“Beliau pernah memegang jawatan dalam kerajaan, pengalaman agak luas, perwatakannya baik, kelayakannya pun ada dan beliau merupakan seorang (pemimpin) wanita yang mempunyai prinsip dari segi perjuangan,” katanya.

Post a Comment