Bahkan, filem atau telemovie seram yang dihasilkan dari benua Asia sebelum diadaptasi daripada mitos serta dongeng juga turut menggunakan elemen yang sama.
Teknik itu ternyata tidak diteruskan oleh sebuah produksi seram berjudul Grace yang bakal ditayangkan di saluran HBO Asia.
Bercerita lanjut mengenai naskhah yang dibahagikan kepada empat episod itu, pengarahnya, Tony Tilse berkata, kriteria utama yang ditekankan dalam Grace adalah pembinaan karakter yang terlibat serta persekitaran yang wujud dalam setiap episod.
Jelas Tony, cara sedemikian bukan sahaja lari daripada kebiasaan, malah dapat memberikan lebih ‘rasa’ kepada penonton.
“Kita sering dididik dengan filem-filem seram yang menampilkan makhluk hodoh bagi memberikan kesan menakutkan sehingga perkara tersebut menjadi terlalu sebati dalam diri masyarakat serta penonton.
“Jadi, bagi memberikan sedikit kelainan, mood seram yang saya tampilkan dalam Grace hanya berdasarkan emosi yang ditonjolkan oleh para pelakon tanpa melibatkan sebarang kewujudan entiti yang menyeramkan,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang akhbar pengumuman siri mini tersebut di Hotel Conrad Continental, Singapura baru-baru ini.
Rujukan
Ketika berlangsungnya sidang akhbar tersebut, pihak media diberi peluang untuk menonton sebahagian rakaman siri mini tersebut secara eksklusif.
Walaupun cerita itu digambarkan berlaku di sebuah bandar tanpa nama, namun Grace masih menampilkan ciri-ciri mistik serta kepercayaan karut masyarakat tempatan seperti karakter bidan Melayu bernama Ati yang dilakonkan oleh Nora Samosir.
Menerusi watak itu, elemen ilmu hitam dan sihir turut dipaparkan.
Menyentuh mengenai kajian terperinci yang dilakukannya sebelum mengarahkan Grace, Tony berkata, dia banyak belajar tentang kepercayaan mistik penduduk di negara-negara Asia ketika mengarahkan sebahagian daripada episod drama bersiri HBO Originals, Serangoon Road tahun lalu.
“Salah satu episod yang saya arahkan ialah berkisar tentang sambutan Perayaan Hantu Lapar sebelum saya mula belajar tentang kepercayaan mistik masyarakat di sini.
“Sejujurnya, proses itu terus berkembang apabila saya bersetuju untuk mengarahkan Grace. Menerusi perbualan dengan para pelakon serta pembacaan lanjut, saya dapat memahami kepercayaan-kepercayaan tersebut dengan lebih jelas lagi,” katanya yang turut menghasilkan kepercayaan mistik baharu secara fiksyen bagi tidak menyinggung mana-mana pihak pada masa depan.
Ditanya mengenai suasana bekerja dengan para pelakon yang berbeza, Tony memberitahu, proses itu suatu cabaran yang sungguh berbeza berbanding karya lain arahannya.
“Ia merupakan pengalaman baharu buat saya kerana dapat berkongsi sebuah platform bersama pelakon-pelakon yang cukup berbakat.
“Namun, kesungguhan yang mereka tunjukkan menjadikan saya lebih teruja sepanjang menjalani proses penggambaran,” katanya sambil memuji barisan pelakon dalam Grace yang sangat komited ketika beraksi di hadapan kamera.
GRACE bakal menemui penonton pada 17 Oktober ini pada pukul 9 malam di saluran HBO (Astro 411) dan HBO HD (Astro 431).
Advertisement
Pengisian tempatan
Paling istimewa, Grace turut menampilkan pelakon antarabangsa yang pernah mencipta nama menerusi filem The Mummy: Tomb of the Dragon Emperor, Russell Wong sebagai tonggak utama.
Menurut Russell, dia bersetuju menerima tawaran menunjangi siri mini itu kerana berasa teruja untuk berlakon dalam sebuah drama berbahasa Inggeris yang melibatkan pengisian dan cerita tempatan.
“Walaupun saya tidak pernah berlakon dalam filem atau drama bergenre seram, namun saya sedar permintaan naskhah seperti itu cukup tinggi di sini.
“Apabila diberitahu bahasa pengantara yang digunakan adalah bahasa Inggeris dan pengisiannya pula berkisar tentang kisah masyarakat tempatan, saya terus menerima tawaran tersebut.
“Saya percaya, dengan cara penyampaian berbeza serta variasi pelakon yang terlibat, Grace mampu memberikan satu kelainan kepada para penonton,” tutur Russell yang menamakan The Ring sebagai salah satu filem seram Asia kegemarannya.
Pelakon yang turut terlibat dalam drama bersiri Serangoon Road itu menambah, merealisasikan watak Roy Chan bukan suatu perkara yang mudah.
Malah, katanya, dia perlu menyelami rasa yang digambarkan oleh watak itu sepanjang sesi penggambaran bagi mewujudkan rasa sebenar seperti apa yang digambarkan dalam skrip.
“Saya suka watak Roy Chan. Ia memberikan saya peluang untuk bercerita tentang kisah seorang manusia yang cuba untuk memperbaiki kesalahan tetapi terpaksa mempertaruhkan nasib keluarganya kerana perbuatannya itu,” ujar Russell lagi.
Selain Russell, antara pelakon lain yang turut menjayakan Grace adalah Constance Song yang memegang watak Angela Chan, Pamela Chee (Ya Yi), Jean Toh (Lisa Chan) serta George Young (Charles Lau).
Terdiri daripada empat episod, Grace berkisar tentang Roy, seorang ketua keluarga yang menyimpan terlalu banyak kesalahan hitam daripada pengetahuan keluarganya.
Walaupun kesalahan itu dilakukan oleh Roy pada masa lampau, namun keluarganya juga tidak terlepas daripada menanggung akibat.
Grace akan mula menemui penonton pada 17 Oktober ini pada pukul 9 malam menerusi saluran HBO (Astro 411) dan HBO HD (Astro 431).
Dua episod finale bagi siri mini ini pula bakal disiarkan menerusi dua bahagian pada 31 Oktober, pada waktu dan saluran yang sama.
Artikel Penuh: Kosmo
Post a Comment