Dalam kejadian kira-kira jam 5.40 petang, mangsa Muhammad Rifai Zainal, 21, dikatakan dalam perjalanan pulang ke asrama di Taman Murai Jaya, Durian Tunggal sebelum keretanya dilanggar sebuah kenderaan lain dari belakang di kawasan berhampiran Taman Buaya.
Menurut sumber, pelajar tahun dua jurusan Diploma Sumber Manusia di Kolej Antarabangsa Sains dan Teknologi Maklumat (MiCoSt) itu maut di tempat kejadian selepas mengalami cedera parah dan pendarahan di sebahagian muka.
“Muka mangsa dipercayai terkena stereng apabila papan panel (dashborad) ternaik ke atas akibat hentakan kuat di bahagian hadapan sebaik sahaja kereta Perodua Kancil dipandu sendirian itu dilanggar pemandu menaiki Proton Wira dari arah belakang.
“Pemandu proton wira berusia 28 tahun itu mendakwa mahu mengelak seekor binatang melintas jalan lalu memusing stereng ke kiri sebelum terlanggar belakang kereta Mohd Rifai menyebabkan keretanya terbabas di bahu jalan,” katanya.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudian Abd Rahman berkata, sebelum kejadian, mangsa datang dari arah Persimpangan MITC/Seri Negeri menghala persimpangan lampu isyarat Taman Botanikal.
“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai apabila kereta lelaki berusia 28 tahun di laluan kanan berlanggar dengan kereta dipandu mangsa di bahagian laluan kiri yang kemudian menyebabkan kereta remaja terbabit terbabas lalu merempuh tembok batu laluan pejalan kaki bawah tanah berhampiran Zoo Melaka dan Taman Buaya.
“Pelanggaran itu mengakibatkan kereta mangsa remuk di bahagian hadapan dan kemik di belakang dan bumber belakang tercabut selain dia mengalami kecederaan parah di bahagian kanan muka sementara seorang lagi pemandu cedera ringan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Salehhudin berkata, mangsa yang dikeluarkan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh kemudian dibawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat bagi kes disiasat di bawah Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, rakan sekelas mangsa, Amirul Shazlan Roslan, 20, berkata, dia juga dalam perjalanan pulang ke asrama menunggang motosikal sebelum melihat kereta Mohd Rifai terbabit kemalangan apabila melalui kawasan tersebut.
“Saya terus berhenti dan melihat dia dalam keadaan masih bernyawa, namun nazak sebelum saya cuba memanggilnya tetapi dia yang sedang menggelupur tidak memberi maklum balas.
“Saya kemudian menghubungi rakan serumahnya sebelum memandang ke arahnya yang tidak lagi bergerak menyebabkan saya mendail nombor kecemasan,” katanya.
Menurut Amirul, Mohd Rifai yang menyertai badan beruniform Askar Wataniah seorang rakan yang pendiam namun berdisiplin selain merupakan anak tunggal dalam keluarganya yang menetap di Kampung Padang, Pokok Mangga, dekat sini.
“Saya tak nampak perubahan diri cuma saya terkilan tidak mengajaknya naik motor bersama saya, sedangkan sebelum ke kolej saya melalui hadapan rumahnya ketika itu terdetik di hati untuk menaiki motosikal bersama sama,” katanya.

Post a Comment