Bapa pelajar berkenaan, Wan Abdul Rahman Wan Yaakob, 68 berkata, inkues itu perlu dilakukan bagi meyakinkan arwah anaknya, Wan Ahmad Faris, 16 bukan membunuh diri seperti yang didakwa sebelum ini.
“Saya yakin anak arwah mati dibunuh berdasarkan kepada beberapa petunjuk dan inkues ini perlu diadakan untuk membersihkan nama arwah dan juga nama kami sebagai ibu bapanya.
“Ini kali kedua laporan polis yang saya buat setelah laporan pertama dibuat pada 16 Januari lalu di Balai Polis Kok Lanas, tidak memberikan sebarang perkembangan lanjut mengenai kematian itu,” katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, di sini, semalam.
Turut hadir, isterinya Rohani Hussin, 59 dan peguam mereka, Alias Ibrahim.
10 Disember tahun lalu, jenazah pelajar tingkatan empat Sekolah Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman Kok Lanas ini dijumpai tergantung di dalam bilik air dalam keadaan separuh bogel dan berjaket.
Jenazah berkenaan ditemui penyelia asrama tersebut, Zul Atfi Muhammad, 37, ketika membuat rondaan di sekolah dan menghidu bau busuk dari dalam tandas asrama sekolah berkenaan.
Bagaimanapun, pihak polis mengesahkan kematian pelajar tersebut tiada kaitan dengan unsur jenayah setelah hasil bedah siasat lengkap oleh pakar forensik terhadap mangsa.
Post a Comment