BERITA TERKINI

Thursday, 27 February 2014

Kawalan di peringkat awal mampu cegah jenayah

Advertisement
PASIR PUTEH - Kurang kawalan ibu bapa, antara punca jenayah melibatkan pesalah juvana meningkat dengan begitu ketara dan menimbulkan kebimbangan kepada semua pihak, akhir-akhir ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, kawalan di peringkat awal mampu mengelak mereka terpengaruh dengan rakan sebaya sehingga terjebak dalam penagihan dan mengedar dadah, rogol, samun berkumpulan, ragut, merosakkan harta benda awam serta menganjur pesta liar.

Katanya, golongan remaja merupakan sekumpulan individu yang kompleks, sama ada dari segi tingkah laku dan sikap, minat dan kecenderungan, budaya, kemahuan dan keinginan serta nilai dan prinsip hidup yang kadang kala sukar difahami.

“Ada ketikanya ibu bapa tidak mengerti sikap anak sendiri, guru tidak memahami sikap murid dan orang-orang tua tidak jelas kehendak serta kemahuan golongan muda ini.

“Rakan sebaya mereka yang terdiri daripada pemimpin dalam kalangan mereka boleh mendekati golongan ini untuk membawa mereka ke jalan kebenaran," katanya ketika merasmikan Majlis Afiliasi Pemimpin Murid dan Pelancaran Minggu Disiplin Sekolah Menengah (SM) Sains Pasir Puteh, di sini, kelmarin.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal; Pengetua SM Sains, Wan Jah Wan Yaacob; Penolong Kanan (PK) Hal Ehwal Murid, Rashidah Abdul Rahman; PK Pentadbiran, Ahmad Hamdany Ahmad Halimy dan PK Kokurikulum, Aziz Derashid.

Jalaluddin berkata, peranan pemimpin pelajar di sekolah sangat penting terutama dalam menegakkan peraturan yang telah dibuat dan meningkatkan kefahaman pelajar bahawa peraturan itu sebagai satu ‘rule’ untuk membina keperibadian mereka.

“Tempoh 11 atau 13 tahun belajar adalah tempoh panjang dan mencukupi untuk membentuk watak serta  peribadi pelajar, apatah lagi bagi pelajar di sekolah berasrama atau sekolah berasrama penuh.

“Peranan guru, rakan dan persekitaran kampus menjadi ‘soul of education’, di mana peranan pemimpin murid mesti dilihat dalam konteks penguatkuasaan peraturan yang natijah akhir semuanya pasti positif, sekolah cemerlang dan pelajar gemilang,” katanya.

Katanya, pemimpin yang baik bukan sahaja mempunyai dinamika diri yang positif, malah selalu menganjur kepada perkara kebaikan, menggesa rakan dan orang di bawah pimpinannya agar sentiasa menghormati peraturan, menepati masa, jujur serta ikhlas dalam setiap perbuatan.

“Antara ciri pemimpin baik yang saya dapat kongsi hari ini adalah sentiasa bersikap benar, dapat membuat justifikasi yang baik, amanah dan ikhlas, bijaksana dan adil.

“Pemimpin yang baik adalah pemimpin yang sentiasa membawa kebenaran walaupun terpaksa menempuh kepayahan dan kepahitan termasuklah usaha menegakkan peraturan sekolah meskipun terpaksa berhadapan dengan pelajar yang akan mengejek, memperleceh dan mempersendakan pemimpin pelajar berkenaan,” katanya.

Post a Comment