BERITA TERKINI

Monday, 24 February 2014

Hidup daif di pondok usang

Advertisement
TUMPAT - Sepasang suami isteri bukan sahaja tinggal di pondok kecil, malah tidak dapat menikmati bekalan elektrik dan air bersih sejak setahun lalu.

Kehidupan serba kekurangan pasangan terbabit, Nazliza Mohd Razali, 34, bersama suaminya, Mazlan Salehudin, 37, turut dikongsi empat anak mereka berusia dua bulan hingga 13 tahun.

Nazliza berkata, segala-galanya bermula apabila rumah sewa yang didiami selama 9 tahun di Wakaf Bharu dinaikkan sewa daripada RM100 kepada RM300.

“Kenaikan yang ketara itu menyebabkan kami tidak mampu menyewa lagi lalu dibina sebuah pondok dalam kebun milik mertua di kampung Kebakat ini.

“Itu pun suami bina sendiri menggunakan kayu terpakai, tiada dapur, tiada ruang tamu hanya muat untuk kami enam beranak tidur sahaja,” katanya.

Menurutnya, ketiadaan bekalan elektrik menyebabkan dia terpaksa menggunakan lilin untuk menerangi rumahnya pada waktu malam.

Katanya, dia tiada pilihan lain selain menggunakan lilin walaupun sedar bahaya mengundang kerana mempunyai anak kecil yang dikhuatiri mungkin bermain api.

“Memang kami mahu bekalan elektrik tetapi belum memohon lagi dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) kerana khuatir kosnya mahal, sedangkan kewangan belum mencukupi,” katanya yang turut memaklumkan suaminya baru mendapat pekerjaan baru sebagai pemandu lori beberapa hari lalu.

Nazliza turut memaklumkan ketiadaan air bersih di rumahnya dan dia sekeluarga terpaksa menggunakan telaga dibina sendiri berhampiran sawah padi.

"Sumber air itulah digunakan oleh kami sekeluarga untuk mandi dan membasuh. Manakalah untuk memasak, saya guna dapur kayu dan tempat memasak di tanah kerana rumah terlalu sempit.

"Tandas juga tiada dan kadang kala sukar untuk anak-anak membuang air besar. Kami berharap untuk menerima sebuah rumah lebih selesa dan selamat untuk berteduh," katanya.

Post a Comment