BERITA TERKINI

Monday, 24 February 2014

Pekerja TNB diugut sebelum disamun

Advertisement
KOTA BHARU - Seorang Juruteknik Tenaga Nasional Berhad (TNB) bukan sahaja kerugian hampir RM2,000 malah turut diugut tiga lelaki dalam kejadian di Kok Lanas, di sini, Sabtu lalu.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, tiga lelaki berkenaan yang pada mulanya, menawarkan bantuan menukar tayar kereta mangsa yang dikatakan bocor, kemudiannya memeras ugut mangsa dalam kejadian di hadapan sebuah restoran makanan segera di Kok Lanas.

Mangsa yang berusia 30 tahun baru keluar dari restoran sebelum disapa oleh seorang lelaki tidak dikenali yang memaklumkan tayar belakang sebelah kiri keretanya bocor dan menawarkan diri untuk membantu menukar tayar.

Mangsa yang tidak mengetahui niat sebenar lelaki itu kemudiannya mengeluarkan alat untuk menukar tayar dari keretanya tetapi lelaki terbabit memaklumkan alat itu tidak sesuai dan menghubungi dua rakannya dengan alasan untuk membawa peralatan lain.

Tidak lama kemudian muncul dua lelaki menunggang sebuah motosikal jenis Honda EX5 berwarna merah yang terus meluru ke arah mangsa sambil salah seorang daripadanya mengeluarkan sebilah pisau dan meletakkannya pada pinggang mangsa.

Mangsa yang ketakutan diugut supaya menyerahkan dompet yang mengandungi MyKad, kad bank, wang tunai RM1,600 serta komputer riba dan telefon bimbit miliknya.

Ketiga-tiga lelaki itu terus melarikan diri dengan memecut motosikal, namun mangsa tidak dapat mengenal pasti nombor pendaftaran motosikal dinaiki mereka. Mangsa membuat laporan di Balai Polis Kok Lanas sejurus selepas kejadian.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Katanya, kejadian berlaku di kawasan parkir restoran dan suspek kemungkinan menggunakan modus operandi membocorkan tayar kereta mangsa sebelum berpura-pura membantu.

“Siasatan awal mendapati tiada kamera litar tertutup (CCTV) yang dihalakan ke kawasan parkir selain tiada saksi yang melihat kejadian itu.

“Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan peras ugut,” katanya

Post a Comment