BERITA TERKINI

Wednesday, 16 July 2014

Pekerja parkir maut kereta dinaiki terbabas

Advertisement
KUALA LUMPUR – Seorang penjaga parkir maut apabila kereta yang dipandunya terbabas dalam kemalangan di terowong Jalan Tun Razak arah Bulatan Pahang, di sini, semalam.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 7.20 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Arokianathan, 30, dalam perjalanan daripada tempat kerja untuk pulang ke rumah.

Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain berkata, sebelum itu, mangsa yang menaiki kereta Nissan Murano dipercayai terlibat dalam kemalangan kecil melibatkan sebuah kereta Proton Wira di hadapan Istana Budaya.

Menurutnya, Proton Wira yang datang dari arah bertentangan bertembung dengan kereta mangsa di bahagian depan.

“Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu. Mangsa kemudiannya meneruskan perjalanan hingga ke Jalan Tun Razak sebelum melanggar tiang lampu.

“Mangsa yang bekerja sebagai penjaga parkir di Kuala Lumpur maut di tempat kejadian akibat cedera parah,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya masih menyiasat punca kejadian.

Katanya lagi, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Post a Comment