Bekas pengawal keselamatan yang pernah bekerja dengan menantu mangsa sebelum ini, dikatakan tidak pernah berhenti mengugut malah pernah cuba membunuhnya empat bulan lalu.
Mangsa, Nelvi Sovia Ismail, 44 berkata, sebelum ini dia membantu menyediakan makanan kepada pengawal keselamatan yang bekerja di syarikat milik menantunya.
Menurutnya, kesemua pekerja dilayan dengan adil menyebabkan dia tidak menyangka salah seorang daripada mereka akan menaruh perasaan kepadanya.
"Dia kawal ketat pergerakan saya dan akan berkawal 24 jam di depan pintu rumah. Saya tinggal bersama dua anak umur 22 dan 12 tahun.
“Masalahnya sejak tiga tahun lalu, dia selalu serang saya tak kira di mana jika saya tak mahu berikan wang. Kejadian ini menyebabkan saya dan anak lelaki berumur 12 tahun trauma sepanjang masa,” katanya.
Nelvi berkata, dia mendapat tahu lelaki berkenaan mengambil bahan terlarang selepas disahkan positif melalui ujian air kencing dilakukan pihak polis.
"Jika terdesak dia akan menggegar rumah saya hingga pecah cermin tingkap untuk meminta wang.
"Anak saya hanya mampu menjerit dan tak boleh menghalang perbuatan lelaki itu kerana bertubuh besar.
"Jiran pula tak tolong sebab ingat ia hanyalah pertengkaran antara majikan dengan pekerja," katanya.
Katanya, suspek pernah mengatakan dia tidak takut dengan pihak polis kerana mempunyai kabel besar selain mempunyai hubungan persaudaraan dengan pimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Saya minta kerjasama pihak berkuasa, tolonglah ambil tindakan, saya dah beri maklumat, tiga kali laporan polis dibuat. Dia masih ada lagi dan keselamatan diri saya serta anak terancam.
“Jangan tunggu saya dah tak ada baru nak ambil tindakan, suspek pernah kata takkan lepaskan saya dan pernah ugut akan bunuh mana-mana lelaki yang cuba berkahwin dengan saya,” katanya.
Post a Comment