BERITA TERKINI

Wednesday, 16 July 2014

Seorang anggota kongsi gelap Geng 36 ditahan

Advertisement
KUANTAN - Seorang anggota kongsi gelap Geng 36 yang menjadi buruan Polis Selangor kerana disyaki terlibat dalam kes bunuh dan cubaan bunuh di negeri itu ditahan bersama 98 gram dadah heroin di rumah sewanya di Batu 11, Jalan Gambang dekat sini, tengah hari kelmarin.

Suspek berusia 36 tahun berasal dari Rawang Selangor yang dipercayai cuba bersembunyi di daerah ini sejak lima bulan lalu turut dikehendaki kerana terbabit dalam kes samun bersenjata dan mendatangkan kecederaan di Klang.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, suspek yang pernah ditahan di Simpang Renggam dicekup kira-kira jam 12.30 tengah hari kelmarin selepas mendapat maklumat berhubung kes kegiatan pengedaran dadah.

Menurutnya, susulan pemeriksaan ke atas lelaki yang sudah berkeluarga dan mempunyai empat anak itu, polis menemui dadah terbabit yang dianggarkan nilai pasarannya mencecah RM2,600 dalam poket seluar dipakai.

“Semakan rekod terhadap suspek mendapati dia amat dikehendaki Polis Selangor kerana disyaki terbabit kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan berhubung satu laporan polis di Batang Berjuntai pada 2010.

“Dia juga dikehendaki bagi membantu siasatan kes cubaan bunuh mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan berhubung satu laporan polis di Kapar, dua tahun lalu selain kes samun di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan serta mendatangkan kecederaan di bawah Seksyen 323 kanun yang sama,” katanya dalam sidang medianya di sini, semalam.

Abdul Aziz berkata, hasil soal siasat, suspek mengaku menganggotai kongsi gelap Geng 36 yang bergiat aktif di Selangor.

“Suspek bersama isteri dan empat anaknya berpindah ke sini dipercayai cuba bersembunyi daripada buruan polis sejak lima bulan lalu.

“Pada masa yang sama suspek dipercayai cuba bertapak dan meluaskan kegiatan pengedaran dadah dengan menjadikan golongan penagih di daerah ini sebagai sasaran,” katanya.

Menurutnya, suspek dipercayai ada rangkaian di kalangan anggota kongsi gelap yang disertainya bagaimana pun dia bergerak sendirian di sini.

“Dia kini direman selama seminggu bermula 12 Julai lalu hingga 19 Julai depan bagi membantu siasatan berhubung kes pengedaran dadah di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kita juga akan merujuk suspek kepada Polis Selangor berhubung empat kes yang dikehendaki sebelum ini,” katanya.

Post a Comment