Lelaki berusia 29 tahun itu, yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah sanggup tinggal di bawah jambatan berhampiran sebuah pasar raya di sini sejak dua bulan lalu, dengan berdinding dan beralaskan kotak untuk berlindung dari panas dan hujan.
Menurutnya, dia yang masuk ke Malaysia lebih setahun lalu, datang ke Kelantan secara sendiri dan melakukan kerja tersebut untuk meneruskan kehidupan kerana tidak boleh membuat kerja berat selepas terlibat dalam kemalangan.
Pendatang asing tanpa izin (Pati) itu berjaya dikesan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam Operasi Bersepadu Pengemis bersama Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI), polis dan Jabatan Imigresen di sekitar bandar raya ini, semalam.
Pegawai JKM Kota Bharu, Mohd Khir Omar berkata, operasi itu dilakukan hasil maklumat dan risikan anggota serta pegawai di kawasan dikenal pasti.
“Kita buat operasi ini pada musim cuti sekolah kerana ramai pengemis menggunakan peluang untuk keluar mengutip derma dengan mendekati pelancong dan orang ramai.
“Pelbagai taktik dan helah mereka gunakan untuk meraih simpati masyarakat, tidak kira sama ada pengemis warga tempatan atau asing, malah ada antara mereka menggunakan kerusi roda, tongkat dan ada juga yang membawa anak kecil,” katanya pada sidang media
selepas operasi tersebut.
Mohd Khir berkata, pihaknya juga turut mengesan taktik segelintir pengemis yang menggunakan nama pondok tahfiz sebagai usaha mendapatkan derma dan bantuan orang ramai yang kian berleluasa sejak akhir-akhir ini.
“Kita percaya golongan ini mempunyai sindiket tertentu dan didalangi oleh mereka yang ingin meraih keuntungan dengan mudah.
“Kita masih menyiasat pergerakan mereka bagi mengenal pasti golongan yang berselindung di sebalik sindiket terbabit dan siasatan terperinci akan dilakukan,” katanya.
Beliau berkata, dalam operasi tersebut, lapan pengemis termasuk tiga warga asing dan lima tempatan ditahan untuk siasatan lanjut.
“Sepanjang tahun ini dari Januari hingga Mei, kita berjaya tahan 15 pengemis di sekitar bandar Kota Bharu berbanding tahun lalu, 13 pengemis.
"Kita akan teruskan operasi seumpama ini lagi bagi membasmi kegiatan pengemis di sekitar bandar ini,” katanya.
Post a Comment