Pegawai Pemerintah PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, Asisten Komisioner Mohd Nawi Yunus berkata, penahanan wanita berusia 33 tahun itu dibuat pihaknya hasil maklumat Unit Risikan Marin yang turut mendapat kerjasama dari Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Pengkalan Kubor.
“Bertindak atas maklumat tersebut sepasukan anggota PPM dan UPP telah mengekori wanita berkenaan dari Pengkalan Kubor dan setiba di jalan Pasar Wakaf Bharu kita telah menahan kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki suspek.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan, kita menemui 685 karton rokok pelbagai jenis antaranya rokok putih jenama John dan Minna Internasional, rokok keretek jenis Nusantara serta Gudang Garam dalam kenderaan suspek,” katanya.
Menurutnya, PPM turut membongkar stor simpanan rokok seludup yang merupakan sebuah bilik kecil di rumah wanita terbabit di Wakaf Bharu dan menemui sebanyak 555 karton rokok putih dan keretek pelbagai jenis.
“Kita percaya suspek bertindak sebagai pengedar rokok seludup bagi pasaran seluruh negeri ini.
“Modus operandi digunakan suspek ialah mengedar pada waktu malam bagi mengelakkan kegiatan itu dikesan pihak berkuasa. Kita percaya kegiatan ini turut melibatkan orang lain dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.
Katanya, ia rampasan rokok seludup pertama dilakukan oleh PPM Pengkalan Kubor pada tahun ini melibatkan nilai keseluruhan RM120,000 termasuk kereta digunakan suspek untuk menjalankan aktiviti berkenaan.
Post a Comment