Pelbagai usaha dilakukan penduduk termasuklah melalui media massa, merayu agar masalah mereka diberi perhatian sehinggalah pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengambil tindakan sewajarnya.
Rata-rata penduduk gembira apabila kemudahan yang ditunggu-tunggu sejak sekian lama itu dapat dinikmati.
Seorang penduduk, Azura Husin, 29, berkata, mereka telah lama membuat permohonan untuk kemudahan bekalan elektrik di kampung berkenaan kerana tidak mampu menanggung kos tinggi menggunakan generator setiap hari.
"Alhamdulillah, kesusahan yang kami hadapi mendapat perhatian dan kami bersyukur dengan kemudahan dinikmati sekarang.
"Sebelum ini hanya kampung ini sahaja yang belum menikmati kemudahan elektrik berbanding peneroka di Tanah Rancangan Felda berhampiran," katanya.
Sementara itu, Mohd Zain Mat San, 62, pula berkata, sebelum menikmati kemudahan elektrik itu, dia terpaksa membelanjakan kira-kira RM200 sebulan untuk membeli minyak diesel bagi menghidupkan generator, malah kos meningkat jika berlaku kerosakan.
“Ketika kami mula tinggal di kampung ini hampir 30 tahun lalu, bukan sahaja tiada elektrik, kami juga berdepan masalah dapatkan air bersih kerana air sungai yang ada langsung tidak boleh digunakan berikutan tercemar dengan aktiviti perlombongan bijih besi," katanya.
Post a Comment