BERITA TERKINI

Saturday, 17 May 2014

Seorang kontraktor maut kemalangan membabitkan lima kenderaan

Advertisement
LUKUT - Seorang kontraktor maut dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 10, Jalan Seremban-Port Dickson, semalam.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Abd Wahab Harun berkata, dalam kejadian jam 10 pagi itu, mangsa Gan Yee Chong, 49, dari Taman Ria Batu 2, Jalan Seremban tersepit di tempat duduk pemandu.

"Kemalangan itu membabitkan sebuah lori pembancuh simen, van, lori tangki minyak, kereta pelbagai jenis (MPV) Alza dan sebuah pacuan empat roda jenis Ford Ranger.

"Mangsa yang cedera parah di kepala serta anggota badan maut di tempat kejadian, sementara empat lagi pemandu tidak mengalami kecederaan” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Abd Wahab berkata, siasatan awal mendapati, kejadian dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu lori pembancuh simen.

“Ketika melalui jalan berselekoh, lori berkenaan hilang kawalan lalu merempuh sebuah van dipandu Yee Chong dari arah Port Dickson, sebelum terbalik dan menghempap sebuah kereta jenis Perodua Alza yang datang dari arah Lukut.

“Dalam masa sama kereta Ford Ranger dari arah Port Dickson melanggar lori pembancuh simen menyebabkan ia berpusing sebelum dilanggar oleh lori tangki minyak dari arah belakang," katanya.

Tambah Abd Wahab, mayat mangsa di bawa ke Unit Forensik Hospital Port Dickson untuk di bedah siasat.

“Kes di siasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi.

Sementara itu menurut pekerja mangsa yang enggan dikenali, dia sepatutnya menaiki kenderaan dengan majikannya untuk ke tempat projek di Sendayan, namun dia berubah fikiran dengan menaiki sebuah lagi lori yang mahu menghantar bahan binaan tersebut.

“Saya berada di hadapan kenderaan majikan kerana pemandu lori itu tidak tahu jalan untuk menghantar bahan binaan itu.

"Saya sedih melihat keadaan majikan yang cedera parah selepas dikeluarkan dari van dan merayu kepada orang ramai agar memeriksa nadinya sama ada dia masih hidup atau sebaliknya, namun pegawai perubatan mengesahkan dia telah meninggal dunia,” katanya.

Dalam pada itu, suasana di lokasi kemalangan bertambah pilu apabila isteri mangsa meratap sambil memeluk mayat suaminya sebelum ditenteramkan oleh anggota polis dan orang awam.

Post a Comment