Hukuman diputuskan Majistret, Nik Habri Muhamad sebagai menghormati permintaan bapa tertuduh yang mahu anaknya itu dihukum penjara atas kesalahan tersebut.
Tertuduh, Wan Mohamad Fauzan Wan Zakaria, 24, didakwa menakutkan secara jenayah dengan mengancam hendak mendatangkan cedera kepada Wan Zakaria Wan Ismail, 54, di alamat Kampung Bemban, Padang Kala, Melor, di sini, pada jam 6 petang, 4 Mei lalu.
Melalui keterangan impak mangsa yang dibacakan di mahkamah semalam, bapa tertuduh mahu anaknya itu dihukum penjara dalam tempoh setahun hingga dua tahun supaya tertuduh mendapat pengajaran daripada kesalahan itu.
Nik Habri dalam keputusannya turut menasihati tertuduh supaya tidak mendendami bapanya kerana permintaan itu.
“Jangan pula selepas ini kamu cari ayah kamu untuk membalas dendam. Saya tidak tahu apa-apa yang berlaku antara kamu, tetapi, saya percaya dia masih sayangkan kamu dan harap kamu berubah serta tidak mengulangi kesalahan ini,” katanya.
Dalam kejadian lalu, pengadu (mangsa) yang sedang memandu kereta di hadapan Pejabat YKK Padang Kala, diekori tertuduh dengan motosikal sebelum dilanggar dari arah belakang. Sebelum itu, tertuduh ada meminta wang daripada pengadu tetapi tidak dipenuhi.
Pada masa sama, isteri pengadu ada memberi RM20 kepada tertuduh untuk mengisi minyak, namun, tiba di hadapan pejabat itu, tertuduh bertindak melanggar kereta pengadu sehingga dia sendiri terjatuh dan mengalami luka. Pengadu membantunya dan menawarkan untuk membawa tertuduh ke klinik, namun ditolak.
Pengadu kemudian pulang ke rumah dengan diekori tertuduh. Tertuduh masih tidak berpuas hati dan meminta RM150 pula dengan alasan untuk pergi ke klinik.
Pengadu nyatakan dia tidak mempunyai wang dan tiba-tiba tertuduh berjalan ke dapur serta keluar dengan membawa sebilah pisau namun dua ahli keluarga yang lain sempat menahannya.
Post a Comment