BERITA TERKINI

Saturday, 10 May 2014

Pengusaha kedai buku kerugian RM500,000 stor terbakar

Advertisement
TANAH MERAH - Seorang pengusaha kedai buku di bandar ini kerugian lebih RM500,000 apabila stor buku miliknya musnah dalam kebakaran di Jalan Ismail Petra, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, kebakaran melibatkan stor menyimpan buku, manakala kedai jualan dan stor alat tulis yang terletak bersebelahan terselamat.

Pemilik kedai, Zainal Abidin Mohd Ali, 56, berkata, dia tahu mengenai kejadian itu ketika dalam perjalanan pulang dari solat Jumaat apabila melihat asap tebal di kawasan kedainya.

“Apabila sampai, saya tidak dapat buat apa-apa kerana api sedang marak, manakala pasukan bomba sedang bertungkus lumus memadam kebakaran.

“Stok buku yang terbakar ini ada yang baharu sampai dan ada stok lama. Anggaran kerugian RM600,000 hingga RM700,000,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, kelmarin.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan 1, Disagar Mani Mustafa berkata, seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah dikejarkan ke lokasi kebakaran selepas panggilan kecemasan diterima pada jam 2.32 petang.

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, pasukannya yang turut dibantu empat anggota Balai Bomba dan Penyelamat Machang mendapati hampir 70 peratus stor itu sudah terbakar.

“Tindakan pertama kami ialah membuat ‘break’ antara stor terbakar bagi mengawal api merebak ke premis berdekatan sebelum api dapat dikawal dalam masa 10 minit.

“Operasi hanya ditamatkan kira-kira jam 7 petang kerana kebakarn ini melibatkan buku, jadi kami perlu pastikan tidak berlaku kebakaran berulang. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat,” katanya.

Post a Comment