Dalam kejadian kira-kira jam 10.40 malam kelmarin, mangsa, Fong Hui Kuan, 29, dan suaminya, Tan Wui Tai, 32, baru sahaja sampai rumah mereka di kampung berkenaan.
Hui Kuan berkata, ketika kejadian mereka berdua baru sahaja pulang dari pasaraya di sini iaitu tempat dia bekerja.
Menurutnya, apabila sampai di hadapan pintu pagar rumah, tiba-tiba sebuah motosikal dinaiki dua lelaki berhenti dan menghalang laluan mereka.
"Berang dengan tindakan dua lelaki itu, saya keluar dari kereta dan memarahi mereka sebelum salah seorang daripadanya mengugut sambil mengacukan parang pada saya sebelum cuba meragut beg saya.
"Akibat takut dengan tindakan lelaki itu, saya segera masuk ke dalam kereta dan mengunci pintu dari dalam kerana bimbang diapa-apakan dua lelaki berkenaan, namun mereka terus memaksa saya menyerahkan beg tersebut,” katanya kepada Sinar Harian, di sini
semalam.
Hui Kuan berkata, suaminya yang mulai berang terhadap dua lelaki berkenaan bertindak menendang pintu kereta lalu mengenai salah seorang mereka.
Jelasnya, berlaku pergelutan antara mereka dan salah seorang lelaki itu telah menetak kepala suaminya dan terus memukul Wui Tai yang cedera parah.
"Melihat keadaan suami yang sudah tidak bermaya, saya segera mendapatkannya dan sewaktu memangku suami, salah seorang daripada lelaki terbabit cuba menetak suami tetapi saya menghalang menggunakan tangan.
“Akibat tetakan itu, tiga jari saya hampir putus dan penjenayah terbabit terus melarikan diri ke arah jalan utama," katanya.
Hui Kuan berkata, suasana bising tersebut disedari jiran berhampiran yang datang membantu mereka berdua.
“Akibat kejadian berkenaan suami saya kini terlantar di Hospital Taiping dan menerima 11 jahitan di kepala.
"Manakala saya menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang bagi mencantumkan kembali tiga jari yang hampir putus,” katanya.
Post a Comment