Suaminya, Rosli Ismail, 54, maut selepas motosikal yang ditunggang dirempuh sebuah Perodua Viva yang terbabas ke laluan bertentangan di Kilometer 128.3 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berdekatan Stesen Penguatkuasaan (SPK) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kijal.
Akibat rempuhan itu mangsa tercampak ke atas kereta itu sebelum melambung ke bonet hadapan sebuah kereta Toyota Altis yang berada di belakang mangsa dalam nahas kira-kira jam 8.45 pagi, semalam.
Mangsa yang cedera teruk di bahagian kepala selain mengalami patah kaki dan tangan kiri meninggal dunia di tempat kejadian. Motosikal Honda EX5 yang dinaikinya terputus dua.
Manakala, pemandu Perodua Viva yang berumur 20 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketika kejadian, dipercayai mangsa dalam perjalanan dari arah Kijal ke Chukai selepas memantau anak buahnya di SPK Kijal.
Tak sedar perubahan suami
Noriah berkata, suaminya yang bekerja di bawah Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) keluar dari rumah mereka di Kampung Darat Kijal kira-kira jam 7.20 pagi sebelum dia dikejutkan dengan berita kematian suaminya itu pada jam 9 pagi.
“Akak langsung tak perasan perubahan arwah...malam tadi arwah tiba-tiba ajar anak kami, Khasibah, 27, cara isi minyak hitam ke dalam motosikal. Lepas siap ajar, anak cakap arwah tenung lama ke arahnya.
“Malah sejak tiga hari lalu, arwah sentiasa bawa MyKad (kad pengenalan) ketika keluar rumah. Biasanya dia cuma bawa salinan MyKad saja dan MyKadnya akak yang simpan,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Kemaman.
Hasil perkongsian hidup, Noriah dan suaminya mempunyai enam anak berusia lingkungan 31 dan 16 tahun.
Sukarela potong rumput di tanah perkuburan
Kata Noriah, arwah suaminya menyelia empat kawasan iaitu di Beris Nenas, Bukit Anak Dara, Bukit Teruna dan Meraga Beris dengan jumlah pekerja yang diselia seramai 30 orang pemesin rumput.
Menurutnya, kawasan yang diselia tidak termasuk kawasan tanah perkuburan, tetapi kerana mahu melakukan amal, arwah secara sukarela memotong sendiri rumput di Tanah Perkuburan Bukit Anak Dara dan Tanah Perkuburan Bukit Teruna.
“Pantang tengok rumput panjang sikit, arwah akan pergi potong…dia juga beritahu yang dia nak jaga betul-betul tanah perkuburan itu dan mahu tanam bunga sekali di situ,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia disebabkan kecederaan parah pada kepala.
Jenazah mangsa kemudiannya dituntut keluarga dan dikebumikan kira-kira jam 2 petang selepas Solat Zuhur.
Post a Comment