Mangsa, Abdul Hakim Mohd, 47, yang terperangkap dan tersepit dalam kenderaannya, kemudian dikeluarkan orang awam.
Dalam nahas kira-kira jam 2 petang itu, mangsa yang beralamat di Paka, Dungun dikatakan dalam perjalanan dari Kuala Terengganu menuju ke Kuala Lumpur atas urusan kerja.
Saksi kejadian, Andi Sorono, 37, yang juga buruh ladang kelapa sawit berkata, ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa yang memandu sendirian cuba mengelak daripada melanggar sebatang kayu yang berada di tengah jalan.
Bagaimanapun katanya, mangsa gagal mengawal kenderaan lalu berpusing sebanyak dua kali ke kanan jalan.
“Kemalangan ini tak ubah seperti adegan dalam filem aksi Hollywood kerana selepas kereta berpusing-pusing, ia melanggar tiang elektrik di tepi jalan bersebelahan ladang sawit.
“Rempuhan kuat menyebabkan badan kereta mewah ini bengkok dan melekat pada tiang elektrik,” katanya.
Andi berkata, sejurus selepas kejadian, orang awam yang berada berdekatan lokasi nahas itu mengerumuni kereta mangsa dan menghulur bantuan segera.
Mangsa yang mengalami patah tangan dan luka di beberapa bahagian badan, kemudian dikejarkan dengan ambulans ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, Pahang bagi mendapatkan rawatan segera.
Sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Cheneh dengan kekuatan sebuah jentera, turut berkejar ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan dan melakukan kerja pembersihan kerana mangsa sudah dikeluarkan orang awam lebih awal.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam mengesahkan menerima laporan kejadian.
Post a Comment