BERITA TERKINI

Monday, 21 April 2014

Polis trafik patah kedua-dua belah tangan dalam nahas jalan raya

Advertisement
DUNGUN – Seorang anggota polis trafik patah kedua-dua belah tangan selepas motosikal ditungganginya merempuh sebuah pacuan empat roda yang tiba-tiba masuk ke kanan jalan di Kilometer 21, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, di sini.

Kejadian kira-kira jam 1.25 petang pada 16 April lalu itu berlaku ketika mangsa, Konstabel Mohd Shahril Azwan Shahri dari cawangan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun dalam perjalanan dari Dungun menuju ke Kuala Terengganu untuk satu tugas rasmi.

Dalam kejadian itu, kenderaan pacuan empat roda dipandu Mohamad Fazillah Mustaffa, 24, dari tepi jalan arah sama, melintas masuk ke kanan jalan.

Tindakan itu menyebabkan Mohd Shahril Azwan gagal mengawal motosikalnya lalu merempuh bahagian kanan kenderaan pacuan empat roda itu, yang dipercayai mengubah haluan secara tiba-tiba.

Mangsa yang patah kedua-dua belah tangan kemudian dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut, bagaimanapun Mohamad Fazillah yang berasal dari Batu Kurau, Perak tidak cedera.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Ahmad Zailani Yaacob mengesahkan kejadian tersebut.

Kata beliau, pihaknya masih menjalankan siasatan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Post a Comment