Walaupun kerja itu hanya dilakukan dalam dua atau tiga hari seminggu, Rohani Yusof, 57, gembira kerjaya yang dianggap mencabar bagi wanita sepertinya dapat dipikul dengan sempurna.
Pada mulanya ramai yang ragu-ragu terhadap kemampuannya menghantar penumpang ke destinasi yang hendak dituju.
Namun, Rohani tidak patah semangat, malah menjadikannya sebagai cabaran, kerana mahu buktikan wanita sepertinya juga mampu membawa penumpang termasuk lelaki.
Selain daripada kurang kepercayaan daripada penumpang, ramai dalam kalangan mereka turut meluahkan rasa bimbang mengenai keselamatan dirinya sepanjang perjalanan membawa penumpang.
“Alhamdulillah, kini selepas lebih empat tahun membawa kereta sewa, tidak pernah berlaku kejadian tidak diingini, lagipun kebanyakan penumpang yang saya ambil hanya untuk sekitar Kuala Krai dan paling jauh ke Tanah Merah.
“Tahap kepercayaan penumpang juga bertambah baik," katanya.
Menyentuh mengenai pendapatan diperoleh, Rohani berkata, rezekinya tidak menentu sejak harga jatuh memandangkan kebanyakan penumpang bekerja sebagai penoreh getah.
Menurutnya, jumlah penumpang akhir-akhir ini agak berkurangan sehinggakan pernah sehingga masa menginjak tengah hari, dia dan rakan-rakan pemandu kereta sewa tidak memperoleh penumpang.
Nenek kepada 11 cucu ini berkata, walaupun kesemua pemandu kereta sewa di Kuala Krai kesemuanya lelaki, dia gembira mereka agak ramah dan mudah untuk menyesuaikan diri ketika menunggu penumpang.
Wanita cekal ini turut memaklumkan suaminya, Nasir Salleh, 60, turut memberikan sokongan untuk terus berkhidmat kepada masyarakat setempat .
Post a Comment